Pengguguran Anina Saadudin sebagai ahli UMNO Cawangan Kampung Padang Matsirat, Langkawi hanya boleh disahkan melalui usul yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Pengerusi Tribunal Disiplin UMNO Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kuasa menggugurkan ahli juga tertakluk kepada MT selepas mereka bermesyuarat dan ianya bukan hak pentadbiran parti.

"Hanya MT yang boleh menggugur atau memecat Anina, ia perlu melalui mesyuarat dan satu usul yang ditandatangani semua MT berkenaan.

"Pihak pengurusan UMNO tidak boleh mengeluarkan surat pengguguran Anina tanpa pengetahuan serta usul MT. Itu di luar kuasa pentadbiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Megat mengulas isu pengguguran keahlian Anina berkuatkuasa hari ini apabila tindakannya disifatkan melanggar Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO menjelaskan mana-mana ahlinya yang membawa perkara parti atau keahliannya ke mahkamah tanpa mematuhi sepenuhnya peraturan parti akan digugurkan keahliannya.

Dalam Megat mengakui tidak tahu seandainya ada perbincangan awal daripada MT UMNO sebelum keputusan pemecatan diumumkan Tengku Adnan.

"Memang dalam undang-undang ada kuasa dan fasa namun jawatankuasa pemecatan adalah di tangan MT," ujarnya.

Pada minggu lalu, Anina memfailkan tuntutan saman terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap wang derma RM2.6 bilion.

Tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu ketika ditanya tindakan Anina terhadap parti, Megat menjelaskan;

"Tindakan kritik boleh dibuat tetapi ada hadnya. Langkah samannya itu pula jelas salah dalam undang-undang parti."

Sebelum ini, Anina menjadi popular di media sosial selepas rakaman video mengkritik kepimpinan tertinggi parti dalam mesyuarat UMNO Bahagian Langkawi menjadi viral.