Pakatan Harapan (Harapan) mampu menang besar di Selangor berdasarkan sentimen terkini menerusi Survei Institut Darul Ehsan (IDE) antara Januari hingga hujung April 2018.

Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, Harapan memperoleh peningkatan sokongan tujuh peratus daripada 49 peratus dalam kaji selidik bermula Januari kepada 56 peratus pada hujung April selepas penamaan calon.

Menerusi kaji selidik sama, sokongan kepada BN pula didapati merosot empat peratus iaitu daripada 34 peratus kepada 30 peratus.

Menurut IDE, hasil kajian itu menunjukkan BN hanya mampu menang tujuh kerusi di Selangor.

Sementara kemenangan Harapan pula dipengaruhi oleh jumlah keluar mengundi dan kesan persempadanan pilihan raya.

“Harapan mampu menang baki kerusi yang ada dengan kerja kuat dan sedaya upaya meningkatkan peratusan keluar mengundi.

“Sokongan besar kepada Harapan disebabkan beberapa faktor. Ini merangkumi sokongan tinggi terhadap Menteri Besar Selangor yang kini mencapai tahap sokongan 65 peratus.

“Ketidakmampuan BN menamakan calon Menteri Besar yang berwibawa melonjakkan sokongan kepada Harapan parti ini akan terus kekal memerintah Selangor selepas PRU14,” katanya.

Sokongan rakyat terhadap program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri memainkan peranan peningkatan keyakinan pengundi terhadap Harapan.

Populariti Harapan dilihat semakin meningkat berdasarkan sokongan pelbagai kaum, khususnya kaum Melayu.

Sokongan pengundi Melayu kepada BN merosot kepada 33 peratus daripada 39 peratus, manakala sokongan kepada Harapan meningkat dari 35 peratus kepada 43 peratus.

Dalam survei itu, sokongan Melayu kepada Pas kekal pada tahap 22 peratus sejak Januari.

Sementara sokongan kaum Cina terhadap Harapan melepasi 80 peratus dan peningkatan juga berlaku kepada sokongan pengundi India yang meningkat melebihi 60 peratus.

Sementara sokongan terhadap Pas didapati kekal pada 12 peratus sejak Januari lalu.

“ Jika angka ini terus kekal bermaksud sokongan tegar ahli Pas adalah sekitar lapan hingga 12 peratus di kebanyakan kawasan Dun di Selangor.

“Trend pengundi Pas dilihat berpotensi menjadi undi pemecah sokongan terhadap Harapan dan boleh menyumbang kepada kemenangan tipis kepada BN atau mengurangkan majoriti kemenangan yang dicapai Harapan.

"Pas dijangka sukar menang kerusi di Selangor akibat perpecahan undi Melayu dan kehilangan sokongan kaum Cina dan India,” katanya.

Mohammad Redzuan berkata, data diperoleh berdasarkan Survei IDE 2018 Mood Rakyat Menjelang PRU14 yang dijalankan secara berterusan dan berperingkat sejak antara Januari dan April melalui temuduga bersemuka oleh enumerator terlatih IDE.

Ia dilaksanakan secara sistematik oleh IDE melibatkan 52 orang enumerator terlatih secara bersemuka dengan lebih 6,800 responden di 56 Dun Selangor.

IDE menggunakan inovasi terkini dalam penyelidikan menggunakan tablet dan aplikasi IDE e-survey.

“Inovasi ini membolehkan profil sampel responden, lokasi enumerator dan tugasan mereka dipantau secara ‘real time’ di bilik operasi IDE bagi memastikan ketepatan survei berdasarkan profil responden yang telah ditetapkan.

“Responden adalah terdiri daripada pelbagai kaum melibatkan Melayu, Cina dan India serta terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal, taraf pendidikan dan lain-lain,” katanya.