POLITIK
"Henti sengketa, buat kerja" - Nasihat Muhyiddin buat pemimpin PH

Menurut Muhyiddin, apa yang mahu dilihat oleh pengundi ialah kemampuan PH membantu rakyat dalam isu ekonomi serta kos sara hidup bukannya menyaksikan sengketa pemimpin. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Rakyat mahu melihat hasil kerja yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan bukan bersengketa sesama sendiri, itu peringatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, apa yang mahu dilihat oleh pengundi ialah kemampuan PH membantu rakyat dalam isu ekonomi, kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dan kemudahan kebajikan.
Justeru, apa yang paling utama juga, kata Muhyiddin ialah, pemimpin dalam parti komponen PH melupakan sengketa dan mencari kerjasama serta perpaduan yang boleh membantu melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dengan lebih berkesan.
"Sebagai pimpinan dalam PH, saya fikir bukan saya sahaja. Kita berkongsi pandangan dan sentimen yang sama iaitu sebaik mungkin tidak ada masalah baik dalaman parti komponen PH seperti PKR, Bersatu dan lain-lain.
"Kalau pun ada yang berbangkit terbaik adalah cari jalan penyelesaian lagi cepat lagi bagus kerana yang ditumpukan oleh rakyat sekarang komponen PH dalam kerajaan," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelepasan NGO Anak Muda untuk Misi Kemanusiaan Banjir di sini, pada Rabu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan kesal kerana digelar pengkhianat setelah 20 tahun berada dalam perjuangan parti berkenaan
Bahkan hubungan Azmin dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilaporkan tidak sehaluan dan sengketa antara mereka menjadi perbincangan hangat dalam kalangan penyokong parti berkenaan.
Hubungan dingin pemimpin nombor satu dan dua PKR itu semakin ketara apabila Azmin tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional PKR, di Melaka baru-baru ini.
Malah, dalam satu acara di Hotel Reinassance, Azmin mempertikaikan tindakan Anwar menggunakan sejarah Si Kitol dan Raja Mendelia ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2019.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami