Kenyataan tidak sensitif Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berhubung kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Haron Din tidak mewakili parti DAP.

Menurut Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng beliau turut kesal dengan kenyataan berkenaan yang mengundang kemarahan banyak pihak.

"Saya ingin memaklumkan bahawa Saudara Jeff telah memadamkan perkongsian Twitter terbabit.

"Saya juga ingin melahirkan rasa kesal terhadap ahli keluarga sekiranya tersinggung dengan apa yang berlaku berkaitan tweet Saudara Jeff kerana ini tidak mewakili pendirian parti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Guan Eng, meskipun sering berbeza pendapat dalam banyak hal politik, DAP yakin dan percaya bahawa Allahyarham telah menyumbang kepada agama Islam.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah turut mengingatkan Jeff Ooi agar tidak membakar sentimen umat Islam di negara ini dan mendesak permohonan maaf dibuat terhadap ahli keluarga Allahyarham.

"Perkasa memberi amaran keras kepada beliau yang sering dilihat menghina Islam dan umat Islam dalam negara ini dengan kenyataannya yang biadab dan sangat kurang ajar di Malaysia.

"Cukuplah membuat kenyataan biadap yang menimbulkan kemarahan umat Islam. Perkasa tidak akan bertolak ansur lagi dengan telatahnya kerana buku akan bertemu dengan ruas," katanya.

Tambah Dr Amini, kenyataan Jeff Ooi itu memanifestasikan sikap permusuhannya terhadap Islam dan ulama Islam yang terbuku di hatinya selama ini.

Justeru Perkasa menggesa pengundi Islam agar tidak mengundi wakil rakyat yang menghina Islam dan para ulamanya.