Gabungan Anak Daerah-Daerah Pahang di Lembah Klang pada Selasa membuat satu laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berhubung tindakannya menghina dan menjadikan video Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan ceramah politiknya.

Pengerusi Anak Pekan Di Lembah Klang, Datuk Shahruddin Ahmad, yang mewakili gabungan itu, memohon pihak berkuasa mengambil satu tindakan sewajarnya dengan segera bagi memberikan pengajaran kepada Mahfuz dan individu yang lain.
.
"Kami berharap ia akan memberi pengajaran kepada beliau supaya tidak mengulanginya dan orang lain supaya menghormati institusi raja," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

"Janganlah kita membabitkan institusi raja dalam kempen politik... sepatutnya rakyat mendoakan Sultan agar terus sihat untuk memerintah negeri tetapi kita lihat dia memperlekehkan tuanku yang mempunyai darjat tersendiri," katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Anak Maran di Lembah Klang, Datuk Jasri Jamaludin dan Presiden Kelab Anak Jerantut di Lembah Klang, Datuk Rozilan Salleh serta kira-kira 15 wakil gabungan itu daripada setiap daerah di Pahang.

Semalam, empat laporan polis dibuat terhadap Mahfuz berhubung isu yang sama masing-masing di IPD Kuantan dan Pekan, Pahang.

Laporan tersebut dibuat berikutan klip video ceramah politik Mahfuz bersama Pakatan Harapan berdurasi 6.38 minit tular di laman media sosial.

Dalam ceramah tersebut, Mahfuz antara lain mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal menjadi Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata Mahfuz perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 atas sikap keterlaluannya menjadikan Sultan Pahang sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

Menurutnya, sebagai seorang anggota Parlimen, Mahfuz seharusnya tahu tentang kedudukan Raja-Raja Melayu dan lebih arif mengenai perlembagaan Malaysia.

"Tindakan beliau ini mencerminkan sikap sebenar pemimpin pakatan pembangkang yang sering melakukan provokasi dengan meluaskan lagi sentimen benci kerajaan," katanya dalam kenyataan.

"Kita khuatir, sikap pakatan pembangkang yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja ini bakal meninggalkan contoh yang tidak baik kepada generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menggesa Mahfuz memohon maaf kepada Sultan Pahang atas kebiadapan beliau itu.

-- BERNAMA