Parti UMNO digesa menghormati hak Timbalan Presiden untuk bersuara, sama sahaja seperti hak yang diberikan parti itu kepada Presiden.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan menghalang diri beliau berucap di Perhimpunan Agung UMNO merupakan tindakan yang tidak wajar.

Jelas beliau, sekiranya hak ini dinafikan kepada Timbalan Presiden, implikasinya kepada ahli-ahli amat besar sekali.

"Saya Timbalan Presiden yang sah, tetapi institusi Timbalan Presiden itu tidak dihormati. Saya tidak dibenarkan berucap merasmikan sayap Puteri, Wanita dan Pemuda. Saya juga tidak dibenarkan mempengerusikan mesyuarat bahagian.

"Kalau institusi Presiden mahu dihormati, begitulah juga institusi yang saya terajui sebagai Timbalan Presiden," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis khas 'Bersama Timbalan UMNO, Tan Sri Muhyiddin' yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang dihadiri lebih 5,000 orang.


Dalam ucapan selama lebih satu jam, Muhyiddin turut menyentuh pelbagai isu terkini negara termasuk tentang syarikat 1MDB, kedudukan ekonomi negara, hal ehwal UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok.

Antara yang hadir mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal, dan bekas bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Padang Matsirat Anina Saadudin.

Perhimpunan itu diadakan susulan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang memutuskan Muhyiddin tidak akan berucap dan merasmikan upacara pembukaan bagi ketiga-tiga sayap parti itu.

Perhimpunan Agung UMNO bakal berlangsung bermula esok sehingga 12 Disember.