TIADA sesiapa yang boleh atau perlu menafikan pelan peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebenarnya, isu peralihan kuasa ini tidak perlu dipertikai atau diungkit lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan rasionalnya sendiri sebelum ini sudah meminta kepemimpinan dan ahli parti di bawah Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti membangkitkan isu peralihan kuasa.

Katanya, isu mengenai bakal Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir sudah diputuskan dalam perjanjian antara parti PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, justeru ia tidak perlu dibangkitkan.

Kerana itu, ia seolah-olah satu tindakan provokasi apabila Presiden PKR itu mengakui, ada perjanjian bertulis yang menyatakan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

Anwar perlu sedar, pelan itu memang sudah ada dan tidak perlu diungkit-ungkit lagi.

Persoalannya sekarang, di manakah atau benarkah ada sebarang bentuk perjanjian hitam putih yang menyatakan Dr Mahathir perlu menyerahkan kuasanya selepas dua tahun menjawat jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya seperti didakwa Anwar?

Sesungguhnya Anwar perlu menunjukkan perjanjian itu kepada seluruh rakyat jika ada perjanjian bertulis seperti yang disebutnya.

Janganlah memutarbelitkan fakta. Tidak ada orang boleh menafikan pelan peralihan kuasa yang sudah dicapai dalam Majlis Presiden PH, namun isunya adakah ada perjanjian secara hitam putih bahawa Dr Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri Interim selama dua tahun sahaja?

Bukankah Dr Mahathir sendiri sudah mengakui memerlukan masa untuk ‘mengemas kini’ pentadbiran dan mengukuhkan ekonomi negara di landasan sewajarnya sebelum menyempurnakan peralihan jawatan kepada Ketua Umum PH dan Presiden PKR itu.

Isu perjanjian bertulis itu sebenarnya menjadi ‘modal’ untuk sebahagian daripada pemimpin-pemimpin PKR untuk menghentam Dr Mahathir hampir setiap hari dalam isu ini.



Sebagai contoh, dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang mendakwa hasrat Dr Mahathir untuk berundur daripada jawatan Perdana Menteri sekurang-kurangnya tiga tahun lagi akan membunuh PH kerana Anwar tidak mempunyai masa mencukupi untuk berkempen dan mengatur sebarang rancangan.

Syed Husin dilapor berkata kenyataan Dr Mahathir dalam dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, baru-baru ini, menyebabkannya secara peribadi tidak mempercayai Dr Mahathir.

Selain itu, langkah Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid yang meminta Dr Mahathir memberitahu dengan jelas bila akan memberi laluan kepada Anwar untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri juga amat dikesalkan.

Dalam isu ini, satu lagi contoh adalah kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul yang berkata, Dr Mahathir boleh memerintah negara selama-lamanya selagi ia mendapat persetujuan empat pimpinan PH turut menghairankan.

Tambah Johari, sekiranya keputusan tidak dicapai, maka pemimpin itu harus akur dengan perjanjian yang telah dibuat pimpinan PH sebelum PRU14. lalu.

Sesungguhnya, tindakan mereka yang tidak mendapat teguran kepimpinan tertinggi PKR juga harus dipersoalkan.

Sebagai ‘backbenchers’ PH, sepatutnya perkara itu tidak harus berlaku. Sungguh tidak masuk akal apabila ‘backbenchers’ PH sendiri mengkritik serta mentohmah Perdana Menteri kerajaan PH.

Hairan, mengapa Anwar juga hanya membisu seribu bahasa apabila melihat perkara itu berlaku?

Bagaimana pemimpin tertentu ini yang berada dalam saf kerajaan yang sama tetapi hari-hari menghentam ketua mereka sendiri? Apakah tindakan mereka ini beretika?



Sedarlah, rakyat memberi undi dan memenangkan PH sebagai amanah untuk kerajaan baru hari ini menyelesaikan semua permasalahan negara demi kesejahteraan masa depan mereka. Bukan untuk bertelagah dan berebut kuasa sesama sendiri.

Ingatlah pesanan Dr Mahathir, cabaran terbesar dihadapi ketika ini ialah menangani masalah ekonomi Malaysia sebelum peralihan kuasa.

Pastinya antara yang giat dilakukan kerajaan ketika ini ialah mengurangkan pinjaman ke satu tahap supaya duit berkenaan boleh digunakan untuk pembangunan.

Celiklah mata, kita menang PRU14 bukan untuk berselisih faham sesama sendiri, berebut jawatan dan sebagainya.

Realitinya, sesiapa sahaja yang bercakap atau mempertikaikan isu pengganti Perdana Menteri tanpa memberi apa-apa sumbangkan untuk kemajuan negara perlu diambil tindakan disiplin.

Jangan biarkan parasit seperti ini berada di dalam PH seterusnya merosakkan perpaduan sesama kita.



* Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah Penyelaras Parlimen Jasin.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.