Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad mendakwa pemimpin Pakatan Harapan (PH) bimbang dengan kemaraan penyatuan UMNO dan Pas.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, berkata kebimbangan itu menyebabkan pemimpin PH membuat berbagai provokasi untuk menggagalkan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu itu.

Katanya, antara provokasi yang dilakukan oleh pemimpin PH ialah mempersoalkan siapa bakal perdana menteri sekirannya gabungan UMNO dan Pas membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka (pemimpin PH) tidak fikir pasal tugas sebagai kerajaan. Mereka sibuk pasal penyatuan UMNO dan Pas sehingga timbul soalan siapa akan jadi Perdana Menteri.

“Saya nak jawab soalan mereka dengan soalan juga, PH ni sedar ke mereka akan jadi kerajaan sepenggal saja?,” katanya pada sidang media bersama pimpinan Muslimat Pas, Puteri UMNO dan Ameerah Malaysia sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara, hari ini.

Noraini berkata, siapa akan dipilih sebagai perdana menteri, jika gabungan UMNO dan Pas berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15, akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti nanti.

Beliau berkata, sebagai parti politik, UMNO dan Pas akan memberi perhatian untuk memastikan kemenangan dicapai dalam PRU15 nanti.

Sementara itu, Ketua Muslimat Pas Nuridah Salleh menegaskan kerjasama kedua parti itu merupakan penyatuan yang berprinsip.

Katanya, bagi PAS survival Islam adalah lebih penting dan kerana itu mereka akan memastikan penyatuan ini akan berjaya.

“Presiden Pas selalu sebut, kalau kita lihat sejarah UMNO dan Pas ini bersama sudah lama, dua parti ini umpana adik beradik.

“Bila adik-beradik tentulah akan ada bergaduh tetapi lama-lama dia baik balik,” katanya.

Pergerakan Wanita UMNO, Dewan Muslimat PAS, Puteri UMNO dan Ameerah Malaysia bekerjasama menganjurkan program Himpunan Wanita Penyatuan Ummah (HWPU913) bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 petang.
  1. Pihak penganjur mendakwa hampir lima ribu menyertai program HWPU913 yang diadakan di PWTC.