Datuk Husam Musa yang dipecat daripada PAS mengumumkan akan tetap hadir pada mesyuarat agung parti kawasan Kubang Kerian yang beliau ketuai kerana mendakwa masih belum menerima surat pemecatannya.

Dalam satu kenyataan media, Husam berkata beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat notis rasmi mengenai tindakan yang dikenakan ke atasnya.

"Sehingga waktu ini, saya belum menerima pemakluman rasmi mengenainya. Untuk itu, saya tetap akan hadir pada mesyuarat agung Pas Kawasan Kubang Kerian yang dijadualkan esok (Sabtu)," katanya.

Husam juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr. Sanusi Daeng Mariok sebelum itu memaklumkan kepada media pemecatan Husam berkuatkuasa pada 23 April lalu.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa tersebut pada tarikh berkenaan selepas meneliti aduan salah laku terhadap Husam dan setelah mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

"Jawatankuasa Tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April 2016 mendapati YB. Dato' Haji Husam bin Haji Musa melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan PAS," kata kenyataan itu yang disiarkan oleh laman web Harakahdaily.

Husam sementara itu mengaku sedih dengan tindakan yang dikenakan keatasnya. Dalam kenyataan yang sama, beliau mengimbau sejarah perjuangannya menyertai PAS serta pengajaran daripada sejarah hidup Rasulullah dan yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini.

Husam dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS pada pertengahan Februari lepas susulan kelantangannya mengkritik parti Islam itu secara terbuka sejak beberapa bulan sebelumnya.

Beliau antara lain menggesa beberapa pemimpin kanan PAS letak jawatan kerana gagal membentangkan rang undang-undang hudud ke Parlimen.