Bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Parti berikutan aduan yang dibuat terhadap dirinya.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Kerja Pas Pusat yang diadakan pada Sabtu.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli mesyuarat yang bersidang telah mengambil maklum tentang aduan tatatertib terhadap Husam.

"Mesyuarat berpandangan aduan tersebut mempunyai asas dan boleh dipertimbangkan tindakan tatatertib sebagaimana diperuntukkan perlembagaan Pas," kata Tuan Ibrahim.

Tambah beliau, prosiding berkaitan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Tatatertib Parti yang dipengerusikan Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok.

"Mesyuarat juga memohon kerjasama Jawatankuasa Tatatertib supaya kes ini diputuskan dengan kadar segera.

"Ini penting bagi mengelakkan tohmahan berterusan dan menjaga kepentingan parti," kata Tuan Ibrahim ketika sidang media di Pejabat Pas Pusat di sini hari ini.

Husam berdepan tindakan disiplin ekoran daripada kelantangannya mengkritik parti Islamik itu.