Di sebalik insiden kekecohan yang berlaku sewaktu pemilihan PKR di Pulau Pinang dan Kedah semalam, calon yang bertanding di peringkat tertinggi tidak seharusnya cuba mengapi-apikan lagi penyokong mereka.

Sebaliknya, kata Senator Yusmadi Yusoff, mereka harus lebih matang dan berhati-hati dalam menyuarakan pendapat, kerana PKR kini merupakan tunjang Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan.

“Ingin saya dambakan, beliau (Rafizi Ramli), terutama pimpinan yang mengambil bahagian, yang punya pengikut yang ramai, YB Azmin yang punya pengikut yang ramai, mendidik pengikut, bukan menambahkan lagi minyak kepada api.

“Saya tengok contoh-contoh di negara seberang, bila mereka tahu pemilihan parti akan panas, mereka cadangkan ‘demokrasi sejuk’. Sepatutnya YB Rafizi, dan pimpinan yang lain, yang bertanding besar ini mendidik pengikut mereka, kerana kita bukan sahaja perlukan pemimpin baik dalam demokrasi, kita juga perlu pengikut yang baik,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Rafizi, yang juga calon bagi jawatan Timbalan Presiden, mendakwa kekecohan itu berpunca dari pihak lawan setelah mengetahui keadaan tidak memihak kepada mereka.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kumpulan berkenaan akan mula mencetuskan provokasi apabila merasakan calon mereka akan tewas dalam pemilihan yang bermula semalam.

BACA: Kes baling kerusi: 'Kita akan baling keluar dari parti' - Anwar

BACA: Kerusi dibaling, penyokong PKR cedera di kepala

Susulan insiden itu, pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti memutuskan agar keputusan pemilihan di Kedah terbatal, dan pemilihan semula ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Turut ditangguhkan ialah pemilihan di Perak, Perlis, Negeri Sembilan, dan Melaka.

Dalam pada itu, Yusmadi, yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat berkata, walaupun beberapa pihak termasuk beliau sendiri sudah menjangkakan sistem e-voting akan mewujudkan masalah, namun ia bukan alasan untuk mereka tidak meneruskan proses itu.

“Kita telah memberi komitmen demokrasi langsung secara langsung, dan kali ini kita gunakan pendekatan e-voting. Isunya e-voting ini patutnya mempermudahkan, mempercepatkan dan melancarkan tapi hari ini teknologi itu telah memberi satu impak yang agak merisaukan.

“Tetapi adakah ini perkara yang bagi saya perlu dipatahbalik ke belakang tidak, JPP PKR perlu teruskan tetapi perlu lebih tegas, dan bersedia menghadapi insiden seperti ini,” jelasnya lagi.

Mengenai persepsi rakyat terhadap parti itu, Yusmadi akui ia mungkin akan tergugat, tetapi beliau menegaskan ia merupakan sesuatu yang lumrah dalam usaha menegakkan amalan demokrasi, apatah lagi PKR kini dianggap sebagai parti yang ke hadapan dalam isu tersebut.

“Masyarakat Malaysia akan tahu bahawa kerja-kerja pemerkasaan demokrasi ini bukan kerja mudah, sebab itu bahasa Inggeris ada mengatakan - ‘liberation is a tough job’.

“Kalau Keadilan ini nak jadi parti ke belakang, senang saja.. jadilah parti yang authoritarian, jangan ada pemilihan kita tangguhkan. Tetapi komitmen terhadap demokrasi ini sangat besar, tapi saya tegaskan, ayuh rakan rakan dalam parti Keadilan, tunjuk budaya politik yang lebih baik,” katanya lagi.