Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Istana tolak Wan Azizah, PKR dan DAP tidak faham budaya politik Melayu - Sumber

KUALA LUMPUR: Wakil Istana Selangor dilaporkan telah menghantar surat daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana pada jam 3.15 tengahari pada Rabu.

Surat itu difahamkan medium rasmi daripada Istana Selangor yang meminta lebih dari dua nama calon untuk 'dinaikkan' sebagai menteri besar seperti kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Selasa oleh pihak istana sendiri.
Wakil Istana di ibu pejabat PKR membawa surat rasmi yang meminta dua nama calon Menteri Besar Selangor. - Sumber

Menurut sumber dalaman PKR, ia juga tanda istana yang mahu parti itu akur dengan arahan Sultan Selangor.

"Kehadiran wakil daripada istana itu membuktikan PKR dan DAP tidak faham budaya politik Melayu.
"Walau surat pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail beserta Akuan Bersumpah 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dihantar, mereka harus akur permintaan Tuanku untuk menghantar lebih daripada dua nama," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Pada Selasa, Keadilan dan DAP dalam satu kenyataan dilaporkan hanya akan mencalonkan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ia sejajar konvensi yang diamalkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2013 yang membuktikan Wan Azizah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Dewan Negeri.

Sebelum ini, Wan Azizah menghantar surat untuk kali kedua kepada istana untuk menghadap Sultan Selangor

Ia dibuat selepas surat permohonan menghadap terdahulu yang ditulis Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak pihak istana atas alasan tidak mengikut prosedur.

"Sultan Selangor sudah menerima surat yang mengatakan Wan Azizah mendapat sokongan 30 ADUN itu. Jika Sultan Selangor mahu Wan Azizah menjadi menteri besar, Baginda sudah awal-awal lagi umumkan perkenan lantik Wan Azizah sebagai menteri besar.

"Namun Baginda tidak mengumumkan nama Wan Azizah sebagai menteri besar tetapi semalam mahu setiap parti menghantar lebih dua nama calon untuk jawatan berkenaan," jelas sumber itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masih menunggu surat rasmi daripada Istana Selangor sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.

Jelas Guan Eng, parti itu tetap dengan pendirian sebelum ini namun tidak menolak kemungkinan mengumumkan pelan lain selepas mendapat surat daripada pihak istana.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri besar namun Sultan Selangor bertitah agar keputusan perletakan jawatan itu ditangguh sehingga perlantikan pengganti menteri besar yang baharu ditentukan.