Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk bertelagah berhubung usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Syariah.

Katanya, usul itu baru dibentangkan buat kali pertama di Parlimen minggu lepas dan perjalanannya masih panjang dalam mencapai keputusan sama ada diluluskan atau tidak.

"Kita perlu tunggu dan lihat kerana ia perlu melalui Parlimen terlebih dahulu, kemudian kerajaan-kerajaan negeri dan sudah pasti Majlis Raja-raja Melayu.

"Tetapi apa yang jelas sepertimana yang diterangkan Perdana Menteri tempohari, ia bukanlah hudud," katanya dalam sidang media selepas hadir dalam sesi pertama hari kedua sidang Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-30 di sini hari ini.

Jelasnya, proses itu perlu dilalui dan segala keputusan bergantung kepada ahli-ahli Parlimen seluruhnya.

Dalam konteks Barisan Nasional (BN) pula, perlu ada sokongan dan persetujuan daripada seluruh komponen parti sebelum sesuatu undang-undang atau pindaan diluluskan.

Kata Hishammuddin, perkara melibatkan percanggahan agama dan kaum bukanlah sesuatu yang baharu dan menjadi keistimewaan BN untuk mencapai titik persamaan dengan cara yang demokratik.

"Akhirnya kita akan duduk sebagai satu pasukan yang memikirkan kepentingan semua pihak.

"Ia banyak bergantung kepadaa kebijaksanaan kepimpinan bukan sahaja UMNO, tetapi MIC, MCA dan juga parti-parti komponen lain," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan bantahan terhadap mana-mana RUU ke arah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia dan sedia berundur dari kabinet Kabinet seandainya RUU itu diluluskan.

Tegasnya, pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan hubungan antara etnik.

Mengikuti beliau adalah Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan terbaru, Presiden MIC Datuk Seri S. Subramaniam.

Usul pindaan RUU Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Khamis lepas.