Pengarah Pilihanraya Pakatan Harapan Selangor, Xavier Jayakumar yakin isu tarian gelek oleh penari LGBT dalam sebuah majlis kutipan dana Tabung Harapan Malaysia yang tular di media sosial tidak akan mempengaruhi pengundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau menjelaskan, rekod kemenangan parti di Sungai Kandis juga menunjukkan isu seumpama itu bukan satu masalah kepada kempen calon Pakatan Harapan di DUN berkenaan.

“(Allahyarham) Shuhaimi Shafie (ADUN Sungai Kandis) dulu 23,998 undi dan DUN itu di bawah saya sebelum ini selama 10 tahun dan saya tidak rasa isu LGBT ini memberi pengaruh kepada pengundi di sana.

"Ia adalah melibatkan isu peribadi pengundi dan mereka ada hak untuk ikut yang mana mereka rasa betul dan terbaik. Jangan kita menghukum mana-mana pihak walau apa cara sekali pun,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Sambutan Hari Tanah Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Xavier yang juga Naib Presiden PKR menegaskan UMNO sengaja melibatkan isu golongan LGBT untuk memenangi hati pengundi Sungai Kandis.

“Isunya jelas di Sungai Kandis menunjukkan UMNO kalah kerana isu-isu yang cuba ditonjolkan.
Mereka memainkan isu agama dan perkauman dan sekarang LGBT pula.

"Macam mana nak kaitkan (penerimaan) pengundi Sungai Kandis terhadap isu ini saya tidak pasti sebab ada 71 peratus pengundi Melayu dan selainnya 29 peratus bukan Melayu,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan calon BN di PRK Sungai Kandis, Datuk Lokmam Noor Adam yang mempersoalkan pendirian pesaingnya daripada Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung isu tarian gelek berkenaan, ini jawapan beliau:

“Saya tidak mahu komen terhadap apa yang dikatakan Datuk Lokman Adam sebab saya kenal dia sejak 1998. Lokman Adam lupa siapa yang tolong dia masa itu dan ketika dia ditahan di bawah ISA dan kami tolong jaga keluarga dia,” jelasnya.

Rakaman video berdurasi 15 saat itu sebelum ini memaparkan beberapa penari bergelek sewaktu majlis kutipan derma Tabung Harapan Malaysia yang dikatakan dianjurkan pihak ketiga melibatkan sebuah NGO.