Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa menjaga hati rakyat dan tidak hanya kelihatan menjelang musim pilihan raya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden BN berkata, ia harus disusuli keikhlasan mendengar keluh kesah rakyat selain tidak bongkak dalam kehidupan seharian.

"Pemimpin perlu menjaga hati rakyat. Jangan hanya jerit 'hidup rakyat', saya minta mereka turun ke bawah.

"Kalau sakit kita pergi buat lawatan ke rumah. Jangan bila dekat PRU baru hendak pergi," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan pemimpin parti komponen BN.

Jalinan Rakyat dilancarkan Datuk Seri Najib pada 7 Ogos 2009 untuk menggantikan Konsep Ketua 10 (K10) yang telah diguna pakai lebih 15 tahun dalam Pergerakan Wanita UMNO.

Ia sebagai usaha menyahut laungan transformasi Najib selain menggunakan pendekatan baru yang lebih strategik bagi menjalinkan hubungan yang lebih rapat dan erat dengan rakyat.

Sementara JR Plus merupakan pendekatan yang menggabungkan jentera Pemuda UMNO, Puteri UMNO serta komponen BN lain dalam persediaan bersama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dalam pada itu, Najib meminta semua komponen BN untuk membuang perasaan perkauman yang terlampau sekali gus menjejaskan persediaan PRU ke-14.

"Kita jangan ada perasaan perkauman yang melampau sehingga tak peduli perasaan orang lain.

"Negara kita ada berbilang kaum, agama walaupun yang rasmi Islam dan Melayu tapi kita mesti hormat etnik lain," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan spekulasi berkaitan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu sudah lama dibincangkan selain mendapat persetujuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri.