Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid diminta tidak membuat tohmahan palsu mengenai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang boleh merugikan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Ahli Parlimen Kapar itu dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bebas untuk bertanding apa sahaja jawatan di dalam parti mereka namun tidak perlu mengaitkan isu melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menjadi Perdana Menteri kelapan.

Jelasnya, Abdullah Sani telah membuat kenyataan yang tidak mempunyai asas sama sekali kononnya Daim cuba menghalang Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Ini tidak benar sama sekali. Saya pun rapat dengan Daim tetapi sekali pun tidak pernah mendengar Daim cuba menghalang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad berundur kelak.

"Perbuatan Abdullah Sani tidak wajar sama sekali. Mereka berkempen untuk bertanding bagi merebut jawatan dalam PKR tetapi mengaitkan orang lain adalah tidak berasas sama sekali. Ia tidak baik untuk membuat tuduhan secara rambang.

"Saya bukan hendak menyebelahi Daim. Sikap Abdullah akan meninggalkan implikasi yang amat negatif. Nampak seolah-olah tiada unsur perpaduan di dalam PH," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Abdullah Sani mendakwa, ada golongan ahli PKR mendakwa wujud campur tangan pihak tertentu yang cuba menghalang pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dakwa Abdullah Sani, gerakan itu digerakkan Daim, menerusi beberapa kenyataannya sebelum ini yang dilihat sebagai 'campur tangan luar biasa'.

Jelasnya, amalan serta perbuatan itu adalah teladan yang tidak baik sama sekali untuk PH.

"Bolehkah Abdullah Sani tunjukkan atau sandarkan bukti-bukti di atas tohmahannya pada Daim?

"Kita sudah banyak kali menyatakan bahawa kejayaan PH pada hari ini adalah kerana jiwa besar Dr Mahathir dan Anwar.

"Dr Mahathir sudah berbuih mulut memberitahu Anwar adalah bakal penggantinya. Apa lagi yang tidak kena serta tak cukup dengan kenyataan mahupun jaminan Dr Mahathir itu," katanya.

Tambahnya, lebih ramai pemimpin PH seperti Abdullah bakal meranapkan keutuhan perpaduan dalam gabungan itu sendiri.