Seluruh pimpinan Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak mempermainkan dan mengkhianati amanah yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dengan menjalinkan pakatan baharu bersama parti pembangkang, untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

Demikian disuarakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, yang menyifatkan ia satu tindakan gelojoh pemimpin-pemimpin tertentu, sama ada dari PH, Pas, UMNO atau parti pembangkang lain, yang mempunyai agenda peribadi untuk memiliki semula kuasa mentadbir Malaysia.

Beliau menasihatkan mana-mana pemimpin PH yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan yang dikeluarkan pimpinan tertinggi parti dan mahu membentuk "pakatan baharu," supaya menunggu sehingga PRU akan datang bagi mendapatkan mandat yang baharu dan sah daripada rakyat.

"Saya daripada dulu sebut bahawa, kita kena hormati mandat rakyat. Mandat rakyat adalah Pakatan Harapan. Jadi, kalau kita betul tak setuju, tak puas hati, tunggulah mandat rakyat semula. Jadi, masa mandat rakyat itu adalah dalam pilihan raya akan datang.

"Sekarang ini, yang disebut Pakatan Nasional ini, adalah disebabkan ada agenda peribadi pemimpin yang gelojoh kuasa. Dia nak kuasa. Kalau pembangkang nak jadi kerajaan, padahal rakyat tak sokong (pembangkang), rakyat pilih mereka sebagai pembangkang pada masa ini, tetapi mereka nak berkuasa (dengan segera)," katanya.

Ismail berkata demikian menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya.

Tambahnya, apa-apa tindakan membentuk koalisi Pakatan Nasional atau "kerajaan pintu belakang" adalah perkara yang tidak boleh dihormati rakyat sama sekali.

Ia bukan sahaja merampas kuasa daripada parti yang sah dipilih menerusi mandat rakyat bahkan melanggar amalan dan kesuburan sistem demokrasi yang diamalkan negara.

"Mulanya bentuk Muafakat Nasional, yang itu sama-sama pembangkang. Dalam kerajaan pun, ada yang gatal (kemaruk kuasa) itu dalam Pakatan Harapan, join sekali, jadi Pakatan Nasional.

"Jadi, pada saya, apa pun yang terjadi kita tak respect lah. Kalau betul pun berlaku macam Perak dulu, maka kita rasa, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam sistem demokrasi yang kita amalkan," jelas beliau.

Amanah Kedah kini memiliki empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Kedah.

Parti terbabit berjaya membentuk kerajaan negeri Kedah yang baharu bersama-sama Bersatu (6 kerusi DUN), PKR (7 kerusi DUN) dan DAP (1 kerusi DUN).

Manakala di pihak pembangkang, Pas memiliki kerusi DUN tertinggi di negeri itu dengan 15 kerusi, diikuti Barisan Nasional (2 kerusi DUN).