Peguam, Wan Haron Wan Hassan diminta tidak membangkitkan isu umur Tun Dr Mahathir Mohamad serta kemampuan perdana menteri ketujuh itu untuk terus memimpin negara.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, isu umur untuk seseorang pemimpin tidak pernah timbul dan ajal maut juga adalah ketetapan tuhan sepenuhnya.

Jelasnya, kuasa Tuhan juga menentukan ada individu yang lebih muda untuk pulang lebih awal ke Rahmatullah.

“Saya rasa lebih baik Wan Haron ini memberi tumpuan di budang guaman sahaja. Jangan masuk campur di bidang politik.

“Apa dia tahu tentang politik masa kini? Malahan, dia sendiri pun tidak pernah berkorban di bidang politik untuk membebaskan negara ini dari kerajaan kleptokrasi pada suatu masa dahulu.

“Jangan hanya hendak bercakap pandai. Dia hanya mampu membuat kupasan politik pada permukaan saja tetapi dasar asas politik dia tidak difahaminya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Masih bekerja pada usia 94 tahun, semuanya kerana minat kata Tun M

BACA: Tun M berbasikal 11km di usia 94 tahun

Sebuah portal sebelum ini melaporkan kenyataan Wan Haron yang mempersoalkan usia Dr Mahathir untuk terus bergelut dengan masalah negara.

Wan Haron turut menambah, adalah lebih baik untuk Dr Mahathir ‘keluar’ daripada terus berlengah dan berdepan risiko dalam pentadbirannya.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, kenyataan Wan Haron menggambarkannya tidak faham tahap kerosakan negara yang begitu teruk sebelum ini.

“Dia ingat segalanya boleh dilakukan dalam sekelip mata bagi memperbaiki segala kerosakan tersebut?

“Ini masalah dengan kalangan yang cuba hendak bercakap pandai. Tiada pengorbanan politik dibuat tetapi
cuba hendak buat pandai dan mencampuri urusan politik.

“Bukan saya hendak bercakap angkuh atau riak. Saya telah berkorban melawan kerajaan kleptokrasi sehingga dipenjarakan dan hilang segala-galanya. Hampir empat tahun lebih saya hidup merana,” ujarnya.

Kini bila Pakatan Harapan (PH) menang, Khairuddin memberitahu dia tidak berani untuk menagih sebarang jawatan politik kerana takut tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut.

“Apatah lagi hendak memberi pandangan dalam urusan pentadbiran negara yang bukan bidang kepakaran saya. Tetapi saya tetap membantu secara dari belakang untuk menjayakan apa saja wawasan kerajaan PH.

“Jangan hanya tanya apa kerajaan PH buat atau sumbang untuk kita tetapi soal juga apa Wan Haron telah sumbangkan bagi menguatkan kerajaan masa kini?” soalnya.

Wan Haron juga dilaporkan memberitahu, terdapat tanda-tanda pemberontakan dari dalam diri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini.

Bagaimanapun, buat masa ini, perkara kelihatan terkawal tetapi ia mungkin menjadi lebih buruk sehingga terpaksa diadakan undi tidak percaya di Parlimen.