Persempadanan semula bukan perkara baru dalam proses pilihan raya di negara ini dan perkara itu tidak wajar dipolitikkan .

Malah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyangkal dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Ahmad Shabery, persempadanan semula penting bagi memudahkan pengurusan terutama di kawasan yang luas dan padat.

“Persempadanan ini bukan hanya berlaku sekarang, perkara ini diadakan dari semasa ke semasa melihat kepada setengah kawasan.

“Sebagai contoh, Kapar, tanpa persempadanan jumlah pengundinya mungkin meningkat 160,000 bagi satu kawasan dan ia tidak munasabah dan praktikal untuk siapa melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ramah mesra bersama Risda di Kemaman pada Jumaat.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata persempadanan semula adalah proses biasa mengikut kesesuaian jumlah pengundi dan demografi kawasan setempat.

Menurutnya, pembangkang seharusnya mengamalkan politik matang dan tidak melemparkan tuduhan melulu untuk meraih simpati.