Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyifatkan penganjuran Karnival Asas Tani Peringkat Pahang 2019 di Felda Sungai Koyan 1 pada Sabtu adalah tidak wajar dan merupakan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan berkata pengurus Felda telah diberikan arahan untuk mengeluarkan surat jemputan ke karnival tersebut bagi pihak penganjur iaitu Jawatankuada Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Bioteknologi Pahang.

“Dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan juga digunakan untuk datang seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) untuk menjayakan program ini.

“Saya ada bukti di mana ada surat di sini yang dikeluarkan kepada semua peneroka Felda (untuk hadir ke karnival) yang diarahkan oleh exco kerajaan negeri tanpa pengetahuan menteri pun.

“Saya ingin mengingatkan MB Pahang bahawa ini adalah waktu berkempen dan kita harus sedar bahawa jentera kerajaan tidak seharusnya digunakan sewaktu berkempen,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Beliau juga menasihati kerajaan negeri yang terletak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) supaya belajar daripada kesilapan lampau dan berhati-hati semasa menjalankan aktiviti berkempen.

Malah tambahnya, kerajaan Persekutuan sendiri amat berhati-hati sepanjang siri berkempen bagi memastikan jentera kerajaan tidak disalahgunakan.