Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat negeri perlu berusaha untuk menjaya dan menerangkan kepada rakyat tentang polisi dan program kerajaan.

Bagaimanapun Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan, tidak ada masalah untuk mana-mana pihak mengkritik dan melontarkan pandangan berbeza jika ianya dapat memperbaiki kelemahan yang ada.

"Siapa lagi yang akan menerangkan kepada rakyat tentang polisi kita jika bukan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

"Oleh itu saya seru supaya jawatankuasa dan biro penerangan baik pusat dan negeri lebih proaktif untuk turun ke setiap pelusuk negeri dan bertemu rakyat bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan isu-isu berbangkit.

"Janganlah sampai rakyat tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini. Mereka menyoal kerana mereka tidak dapat melihatnya atau diperjelaskan oleh kita," katanya semasa ucapan penggulungan Presiden PKR pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu kata Dr Wan Azizah, agenda reformasi adalah suatu proses berterusan dan bukan hanya menitip di bibir, dilaung di udara dan ditulis di kalam.

Jelasnya, ia perlu lahir dari diri, jiwa dan perlu jelas dengan prinsip idealisme agenda reformasi.

"Usaha untuk menterjemah agenda reformasi ini bukan tidak boleh dicapai jika ia hanya diperjuangkan oleh hanya seorang individu; tetapi agenda ini akan lebih berjaya jika diperjuang, disokong dan dijayakan oleh semua anggota dan keadilan itu sendiri.

"Oleh itu, untuk meneruskan perjuangan reformasi ini, PKR terlebih dahulu harus diperkemas dan diperkuatkan organisasinya.

"Kita wajib bersatu hati dan mengekalkan kekuatan ukhwah persaudaraan kita kerana agenda yang lebih besar yang perlu dicapai ialah menterjemahkan reformasi itu didalam pemerintahan kerajaan negeri mahu pun pusat," ujarnya.