Projek baharu di Sarawak oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu didakwa mempunyai agenda tersendiri untuk memperoleh sumber pendapatan haram selain meraih keuntungan persendirian.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata potensi baik Sarawak sendiri menjadi faktor pelbagai projek mega boleh diwujudkan di negeri itu.

“Kenyataan Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyatakan rakyat Sarawak mahu Najib kembali jadi perdana menteri sebenarnya menghampakan.

"Keseluruhan rakyat Sarawak sudah jelas menentang rasuah dan korupsi berskala besar.

“Di saat Najib menghadapi kes perbicaraannya di mahkamah, serta pelbagai matlumat salah laku dan salah guna kuasa berskala besar diamalkan. Bagaimana Nancy tetap menyokong bekas perdana menteri itu?

“Pada hakikatnya, Nancy lupa untuk memahami mengapa pada waktu itu Najib secara kerap gemar melawat negeri Sarawak, jangan terperdaya projek Najib di Sarawak dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Nancy dilaporkan berkata Najib kekal popular dalam kalangan rakyat Sarawak kerana sumbangannya terhadap pembangunan negeri itu.

Nancy berkata Najib meluangkan masa memahami keperluan rakyat negeri itu ketika menjadi perdana menteri.

Tambah Nancy, rakyat Sarawak masih beruntung kerana mempunyai RM31 bilion rizab negeri meskipun menurutnya kerajaan pusat perlu membantu kerajaan negeri dalam membangunkan negeri itu.

Khairuddin turut mendakwa Najib beroleh kelebihan daripada kewujudan pelbagai projek melalui kenaikan harga kos atau komisen.

“Cuba Nancy audit betul-betul projek Lebuhraya Pan Borneo Apakah tidak berlaku apa-apa bentuk salah laku dari pelaksanaan projek ini?

"Nancy boleh tanya berapa kos pelaksanaan projek lebuhraya itu dan kaji semula kos sebenarnya.

“Najib suka mencipta projek-projek mega baru seperti projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mana mereka naikkan kosnya sebanyak berbilion-bilion.

“Itu kaedahnya kerajaan kleptokrasi yang ditunjang oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyamun khazanah rakyat,” jelasnya.

Tambahnya, pemimpin kurang cerdik seperti Nancy mudah diperdayakan oleh apa yang dibuat Najib sebelum ini.

Hakikatnya, tegas Khairuddin, perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap dan terus membantu rakyat di Sarawak secara menyeluruh dan berterusan melalui agensi-agensi kerajaan.

“Sebab itu, sehingga kini, program-program bantuan kepada rakyat serta projek-projek kerajaan persekutuan berjalan seperti biasa.

“Dr Mahathir telah menyusun semula segala projek-projek di Sarawak secara telus dan pelaksanaan berteraskan kaedah efisien mahupun kos efektif.

“Rasuah ditentang sekeras-kerasnya oleh kerajaan PH. Kita bukan ukur membantu rakyat dari beberapa kerap perdana menteri melawat Sarawak tetapi ukur dari pelaksanaan projek-projek untuk rakyat secara telus dan efisien,” ujarnya.

Jelasnya lagi, faktor itu menjadi kegagalan untuk difahami Nancy sendiri.

“Apakah Nancy suka perdana menteri yang kerap turun ke Sarawak dan menyamun duit kerajaan serta dana rakyat secara berskala besar atau seorang perdana menteri yang kurang ke Sarawak tetapi membantu membangunkan proses pembangunan negeri itu secara telus lagi efektif?

“Yang mana satu pilihan Nancy Keseluruhan rakyat sudah tahu dan sedar siapa Najib. Segala-galanya dapat diikuti melalui proses perbicaraannya.

“Cukup-cukuplah Nancy. Jangan cuba hendak tegakkan benang yang basah lagi. Hakikatnya, kita tidak akan mampu untuk menegakkan benang yang basah,” katanya.