Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menafikan dakwaan kononnya beliau sukar untuk berkhidmat di kawasan itu atas alasan beliau bukan anak kelahiran Bandar DiRaja itu.

Jelas Mastura, sejak 27 tahun yang lalu, beliau dan Allahyarham suaminya, Datuk Wan Khair-il Anwar Wan Ahmad sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar dalam memberi khidmat kepada penduduk di daerah itu.

"Sebenarnya ketika Datuk masih hidup dan selama 27 tahun kami berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar. Orang Kuala Kangsar sangat kenal dengan kerja kami. Kerja tetap selesai, permuafakatan dan persahabatan tetap terjalin.

"Kita tidak ada rugi apa-apa dengan cara kami dan orang Kuala Kangsar memang menerima. Jadi saya rasa tidak menjadi satu isu kalau saya terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Parlimen dan juga kerja-kerja yang berkaitan dengan Kuala Kangsar.

"Jadi saya rasa perkara itu sudah terbiasa yang Datuk (Wan Khair-il) buat dan saya akan teruskan mengikuti cara-cara Datuk sebelum ini," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di kediamannya di sini hari ini.

Wan Khair-il Anwar Wan Ahmad

Khidmat bakti

Tegas Mastura, definisi pemimpin anak tempatan tidak bererti perlu lahir di kawasan tersebut, sebaliknya pemimpin yang memberi khidmat bakti serta sentiasa bersama rakyat dalam apa jua keadaan adalah fakta penting untuk dinilai.

"Kita harus melihat kepada fakta-fakta di depan kita. Saya mungkin lahir di tempat lain tetapi saya telah bersama-sama di Kuala Kangsar ini selama 27 tahun dan orang Kuala Kangsar kenal saya dan saya kenal orang Kuala Kangsar. Saya rasa itu sudah cukup untuk kita dikenali sebagai orang di sini.

"Saya berkahwin dengan orang di sini sebegitu lama. Lainlah kalau saya hanya duduk di rumah dan tidak bergaul bersama tetapi saya turun ke padang bersama suami saya, membantu kerjanya, berkenalan ke seluruh pelusuk dengan bermacam-macam bentuk masyarakat di Kuala Kangsar ini.

"Saya rasa untuk menjadi orang di sini, kita mesti mesra dan kenal orang di sini. Itu saya rasa adalah satu definisi kalau kita hendak katakan kita ini orang sini," katanya.

Mengulas berkenaan wujud desas-desus ada pihak yang berkecil hati dengan pemilihan beliau sebagai calon BN, Mastura berkata kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Kangsar percaya dan yakin dengan perjuangan parti yang mahukan perjuangan Wan Khair-il diteruskan.

"Saya amat memahami perasaan kawan-kawan dan saya anggap ketika pucuk pimpinan memilih seseorang calon itu, ia ketentuan Allah untuk mewakili BN di Kuala Kangsar.

"Jadi saya percaya kawan-kawan amat meyakini perjuangan parti yang mahukan satu kemenangan yang baik di Kuala Kangsar. Sama seperti juga ramai yang berada di lapangan dan di peringkat cawangan dan semua sayap," ujarnya.

Kelangsungan kepimpinan

Justeru, beliau yakin jentera BN di semua peringkat telah bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN sekali gus meneruskan kelangsungan kepimpinan Wan Khair-il.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pemilihan Mastura merangkumi latar belakang profesional, memahami selok-belok Kuala Kangsar, bergaul dengan masyarakat akar umbi, memahami kehendak kepimpinan bahagian serta wanita yang menjadi tulang belakang parti.

Mastura, 55, yang juga ibu kepada empat anak adalah seorang peguam dan memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Kent, United Kingdom pada 1984 dan Diploma Undang-undang Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 1989.

Beliau bertugas sebagai peguam selama enam tahun dan aktif bergiat dalam dunia politik dengan menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan, sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.