Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad redha sekiranya PAS enggan bekerjasama dengan pakatan pembangkang dalam berdepan Barisan Nasional (BN).

Sekaligus, pembangkang perlu menerima hakikat bahawa akan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Namun, katanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih lagi mengadakan perbincangan dengan PAS pada ketika ini.

"PPBM sedang berbincang dengan parti PAS. Kita belum dapat keputusan lagi.

"Tetapi bagi PPBM, kita akan menyertai kerjasama dengan Pakatan Harapan lebih awal daripada persetujuan dengan parti PAS.

"Jadi kita harap, parti PAS akan bersama dengan (Pakatan Harapan atau) sekurang-kurangnya dengan PPBM supaya kita dapat tentukan satu lawan satu... tetapi kalau kita gagal, terpaksalah kita terima bahawa akan berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Meja Bulat 'Selamatkan Malaysia' di sini hari ini.

Sementara itu, Tun Mahathir berkata beliau tidak akan menutup PPBM hanya kerana gagal menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Parti politik ini kadang-kadang menang, kadang-kadang kalah. Kalau kalah dia tutup pejabat habislah.

"Kita tak ada niat hendak tutup PPBM hanya kerana kalah. Kita akan usaha lagi untuk menyelamatkan negara kita," katanya.