Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) mengemukakan 32 cadangan bagi menyelesaikan isu melibatkan pembiayaan politik.

Pengerusinya, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, cadangan itu termasuk mewujudkan Pejabat Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Pada masa sama, semua sumbangan kepada parti atau parti politik melebihi RM3,000 daripada sumber yang sama atau yang diterima secara tidak langsung atau sumbangan berupa barangan bernilai lebih RM3,000 mesti dilaporkan kepada Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Jawatankuasa juga mengesyorkan agar sumbangan tunai daripada sumber asing kepada parti politik atau ahli politik perlu diharamkan.

"Sumbangan kepada parti-parti politik mesti dikawal selia dengan rapi. Oleh itu, parti- parti politik harus mempunyai akaun bank di semua peringkat operasi parti," katanya dalam sidang media di Menara INTEGRITI di sini hari ini.

JKNMPP juga mahu Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik diperkenalkan.

"Kita akan bawa cadangan ini ke kabinet dan kemudian ia bergantung kepada kabinet untuk meluluskan dan kemudian akan ada proses-proses tertentu sebelum ia dibawa ke parlimen," tambahnya.

Selain itu, sumbangan kepada parti politik atau ahli politik perlu dikawal selia dan mesti disalurkan terus kepada akaun bank yang tertentu.

"Ia mungkin boleh disalurkan melibatkan akaun peribadi atau parti iaitu sebagai contoh kalau jika ia memberi sebarang kesulitan, kami cadangkan akaun khas diwujudkan bagi menerima sumbangan politik," jelasnya lagi.

Pada masa sama, had perbelanjaan oleh parti atau calon turut dicadangkan agar digugurkan termasuk semasa berkempen.

Menurut Low, usaha mendapat kelulusan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik disifatkan cabaran paling besar yang akan dihadapi jawatankuasa itu.

"Cabaran paling besar ialah memastikan akta berkenaan diluluskan. Sebagai menteri dan Pengerusi jawatankuasa, saya bertanggungjawab untuk memastikan ia dilaksanakan," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau percaya dengan wujudnya kesedaran politik di Malaysia, kebanyakan ahli politik berminat dengan usaha dilakukan jawatankuasa berkenaan.

JKNMPP ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Ogos 2015 dalam usaha membuat penambahbaikan bagi memenuhi keprihatihan orang ramai mengenai soal integriti dalam pembiayaan politik.

Jawatankuasa itu diberi tempoh selama 12 bulan untuk mencari kaedah dan pendekatan konstruktif bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pembiayaan politik yang telah lama wujud.

Dalam tempoh itu, jawatankuasa dan Kumpulan Teknikal telah mengadakan 11 mesyuarat, 19 sesi perbincangan meja bulat, mesyuarat dan interaksi dengan pelbagi pihak berkepentingan.

Jawatankuasa berkenaan juga telah menggunakan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil yang menyusul untuk menjalankan kajian lapangan berkenaan dengan aspek integriti pembiayaan politik semasa kempen pilihan raya.