Kerajaan akan membentangkan hasil kaji selidik dan kajian berhubung usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hasil yang akan dimasukkan di dalam Kad Laporan Ekonomi Bumiputera itu sekali gus akan menepis dakwaan golongan Bumiputera dipinggirkan dari aspek berkenaan.

"Saya harap ahli UMNO akan meneliti kad laporan berkenaan bagi memahami perancangan dan tindakan yang diambil Kerajaan berkaitan ekonomi Bumiputera.

"Ia merupakan agenda besar Bumiputera, tugasnya bukan sahaja menjadi agenda Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) namun setiap kementerian mempunyai agenda masing-masing yang dinilai menerusi Indeks Prestasi Utama (KPI).

"Kita perlu memberi maklumat kepada ahli UMNO kerana mungkin ada yang tidak mendapat maklumat cukup mengenai tindakan dan perancangan Kerajaan selama ini," katanya ketika ditemui selepas diskusi panel usul ekonomi semasa Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Antara panel usul ekonomi ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin dan Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Akbar Ali.

Jelas Mustapa yang juga Pengerusi Usul Ekonomi Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah, peranan kementeriannya dalam membangunkan ekonomi bumiputera kini berbeza berbanding dahulu.

"Agenda itu kini dipantau sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera dengan mengadakan mesyuarat setiap bulan tanpa gagal.

"Tugas kerajaan adalah untuk menyampaikan maklumat ini kerana mungkin masih ada ahli UMNO yang belum mengetahui sepenuhya, apapun kita mengakui bahawa masih ada lagi yang perlu kita perbaiki," jelasnya.

Kad Laporan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dilancarkan pada November 2014.

Ia merupakan satu agenda dalam Memperkasa Agenda Bumiputera dan diletakkan sebagai salah satu tajuk utama pembentangan belanjawan negara.