Tutup

'Kalau betul saya tidak hadir langsung' - Amirudin nafi boikot mesyuarat PKR

'Kalau betul saya tidak hadir langsung' - Amirudin nafi boikot mesyuarat PKR
AMIRUDIN: Memang saya hadir dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, kalau nak boikot saya tidak hadir langsung. -Gambar fail
SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Selangor, Amirudin Shari menafikan memboikot Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR apabila dikatakan tidak hadir ke mesyuarat baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor sebaliknya mendakwa berada di luar kawasan ketika mesyuarat itu berlangsung.

“Memang saya hadir dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, kalau nak boikot saya tidak hadir langsung.
"Mesyuarat terakhir bulan puasa yang lepas saya hadir, tetapi bulan yang lepas raya saya tidak hadir kerana berada di luar negara,” jelasnya.

Sementara itu, pendirian sama turut dinyatakan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha yang menegaskan tiada sebarang niat untuk memboikot mesyuarat itu dan hanya disebabkan oleh tugasan yang lebih utama untuk diselesaikan.

“Tidak hadir dengan sebab munasabah itu boleh diterima walaupun tiga kali berturut-turut jadi saya nampak itu tiada isu.
"Saya ada tugas yang terpaksa diuruskan dan tidak boleh digantikan dengan orang lain. Jadi saya nampak itu lebih utama,” katanya ketika ditemui di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada Rabu.

Pada mesyuarat Masjlis Pimpinan Pusat PKR baru-baru ini menyaksikan beberapa pimpinan tertinggi tidak hadir pada mesyuarat itu termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Selangor, Amirudin Shari.

Antara lain yang turut tidak hadir merupakan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin dan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan kesemua mereka dikatakan telah diberi peringatan untuk hadir pada semua mesyuarat parti mengikut jadual yang telah diedarkan, menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.