Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan membawa UMNO menyertai gabungan atau bersama dalam Pakatan Harapan sebaliknya ahli UMNO yang perlu keluar dan menyertai parti Bersatu.

Namun tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, ahli UMNO yang ingin menyertai Bersatu perlu keluar dari UMNO, duduk berkecuali dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau menjelaskan, sekiranya mereka melakukan perkara demikian, Bersatu sedia menimbang kemasukan mereka.

“Saya dah terangkan kepada Zahid, UMNO tak akan masuk dalam parti kita. Kalau dia nak masuk, dia kena keluar dulu dari UMNO. Duduk di situ sebagai berkecuali.

"Dia sokong Pakatan Harapan, dia buat permohonan individu, kita akan pertimbangkan," ujar Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya semalam.

Pada Jumaat, Dr Mahathir mengusulkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tiada.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata UMNO kini hanyalah badan berdaftar yang tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.