Mana-mana ahli atau pemimpin PAS yang merasakan sudah tidak sependapat dengan PAS boleh keluar parti dan menubuhkan parti baru, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata penubuhan parti baru tidak boleh dihalang dan merupakan perkara biasa bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.

"Penubuhan parti baru, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen, siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," katanya dalam satu sesi dialog dan penjelasan isu semasa di Marang semalam.

Abdul Hadi secara berseloroh menjelaskan mereka yang tidak sependapat jika masih berada dalam PAS umpama seekor nyamuk yang menyebabkan tidur tidak lena.

"Kalau duduk dalam, kalau ada nyamuk seekor tak jenera (lena) tidur kita pun, itu dia, senang nak tubuh parti, sila," katanya.

Abdul Hadi juga menjelaskan beliau tidak mengetahui adanya penubuhan parti baru oleh beberapa pimpinan PAS seperti yang tersebar di beberapa media sebelum ini.

"Saya tak tahu, surat khabar tanya, ni saya tak baca berita ni," katanya lagi.

Berita penubuhan sebuah parti yang dinamakan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tersebar sejak beberapa hari yang lalu.

PasMa menjadi topik perbincangan hangat di kalangan ahli dan pemimpin PAS khasnya dalam laman sosial Facebook.