Jika Pas dan UMNO meletakkan calon Melayu Islam sewaktu hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai tempoh hari, sudah pasti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) tidak akan bertanding.

Presidennya, yang juga calon parti itu, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, keputusan Berjasa bertanding bukanlah untuk ‘test market’ semata-mata, tetapi untuk mengutamakan kehendak masyarakat Melayu di kawasan itu.

“Agenda kami masuk (bertanding) ini bukan nak ‘test market’, atau nak tengok berapa banyak undi yang kita boleh dapat sebagainya. Ini adalah soal prinsip kerana dari dulu kita desak Pas dan UMNO letak calon Melayu Islam. Kalau tak letak, kami masuk bertanding.

“Kami bagi alternatif, dan pilihan kepada orang Melayu Islam. Ini bukan soal rasis atau perkauman, tetapi kita yakin dan percaya terhadap kepelbagaian, berdasarkan kontrak sosial,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan masyarakat di Kampung Sungai Rambah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Badhrulhisham berkata, partinya kini sedang merangka manifesto khas untuk dijadikan pertimbangan oleh pengundi di kawasan itu.

Melalui manifesto itu, jelasnya lagi, terdapat tiga fokus utama yang diyakini dapat menambat hati pengundi, seterusnya mencerahkan peluang beliau untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

“Kita ada tiga rangka besar manifesto iaitu kestabilan politik kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat, keduanya mengenai sosioekonomi Tanjung Piai, dan ketiganya mengenai Kerajaan Pakatan Harapan.

“Berbalik kepada sosioekonomi... yang pertamanya perlu beri fokus kepada golongan nelayan, dan keduanya untuk pekebun kecil yang terlibat dalam sektor kelapa sawit,” katanya lagi.