Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan melahirkan rasa amat terkejut, terkilan dan kecewa bercampur sedih dengan pengisytiharan keluar parti yang dibuat oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, pihaknya memohon kepada semua ahli UMNO khususnya di negeri Kelantan supaya bertenang, bersabar dan beristiqamah dalam perjuangan ini

Beliau menambah, semua ahli UMNO perlu meletakkan keyakinan masa depan UMNO masih cerah dan tidak mustahil dapat kembali bangkit dan mentadbir negara ini untuk meneruskan agenda membangunkan negara.

“Saya menegaskan bahawa tidak ada sekelumit pun terlintas dalam diri ini untuk keluar daripada parti malah akan merapatkan saf bersama-sama pemimpin dan ahli UMNO bagi meneruskan perjuangan suci ini.

"Saya memohon kepada semua ahli UMNO khususnya di negeri Kelantan supaya bertenang, bersabar dan beristiqamah dalam perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Beliau berkata demikian sebagai memberikan reaksi tindakan Ikmal Hisham yang mengumumkan keluar UMNO pagi tadi.

Pada masa yang sama, tindakan itu katanya tidak sedikit pun melunturkan semangat Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan untuk terus berjuang.

Ikmal Hisham adalah seorang daripada enam ahli Parlimen UMNO yang mengisytiharkan meninggalkan parti keramat Melayu berkuat kuasa hari ini (14 Disember 2018).

Selain beliau, turut keluar adalah Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh.