Parti Amanah Negara (Amanah) menerima keputusan yang dibuat rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai semalam dengan terbuka namun penuh kesedaran.

Presidennya Mohamad Sabu berkata keputusan itu tidak melemahkan malah membangkitkan semangat untuk terus memperbaiki perkhidmatan demi kepentingan rakyat.

"Keputusan ini tidak sedikitpun melemahkan semangat kami malah menyemarakkan lagi tekad untuk terus bekerja kuat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Keputusan ini juga menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar terus memperbaiki pemerintahan supaya segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat," katanya.

Mohamad mengulas keputusan PRK Tanjung Piai yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK itu mengalahkan calon PH Karmaine Sardini.

Tambahnya, pihaknya juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti-parti dalam PH dan pada masa sama mempergiatkan lagi program-program penerangan kepada rakyat.

Wee memenangi pertandingan enam penjuru PRK itu dengan majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi berbanding Karmaine yang mendapat 10,380 undi, Wendy Subramaniam daripada Gerakan (1,707), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) manakala dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).