Tindakan Pakatan Harapan (PH) tidak menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri jika menenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi bahan sindiran beberapa pihak.

“Kasihan. Kasihan. Kasihan. Itulah perasaan yang saya ingin kongsikan apabila mengenang nasib bekas timbalan presiden UMNO.

"Daripada menduduki kerusi TPM tak lama dahulu dan disebut-sebut untuk menjadi PM sekitar hujung tahun lalu, kini nama Muhyiddin terus lenyap begitu sahaja daripada senarai calon dalam kalangan pembangkang untuk jadi PM," kata pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Malah kata Rizal, untuk jawatan nombor dua juga PH tidak menamakan Muhyiddin menyebabkan perjuangan ahli Parlimen Pagoh itu menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sia-sia.

“Kalau setakat nak jadi menteri kanan, tak berbaloilah tindakan Muhyiddin untuk menentang Datuk Seri Najib Razak kerana itu bukan janji Mahathir ketika Muhyiddin bersama menubuhkan 'parti bunga' bersamanya dahulu.

“Buat rakyat, renung-renungkanlah nasib negara ini jika pembangkang mendapat undi anda pada PRU14, siapa nak jadi PM pun susah nak tentukan, apatah lagi nak uruskan negara," katanya lagi.

Baru-baru ini Muhyiddin dilaporkan berkata PH tidak ada pilihan dan mesti menamakan calon perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).