Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas telah menyatakan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Jan ini selepas mendapat sokongan penuh daripada ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Beliau berkata keputusan yang diambil parti itu merupakan yang pertama selepas mereka keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 19 Mei 2018, selepas BN kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sebulat suara, tiada yang berkecuali, setiap anggota Majlis Tertinggi menyokong keputusan untuk parti ini bertanding di pilihan raya kecil Cameron Highlands dan mereka telah mencadangkan saya sebagai calon, saya bersedia untuk mencuba," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti di pejabat MyPPP di sini hari ini.

Semasa PRU14, Kavyes telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands tetapi BN memutuskan meletakkan calon MIC Datuk C. Sivarrajh sebagai calon mereka.

Ditanya mengenai simbol atau logo yang akan digunakan MyPPP, Kayveas berkata parti itu akan memutuskannya kemudian dan membuat pengumuman mengenainya pada hari penamaan, pada 12 Jan.

Pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya bahawa kemenangan Sivarraajh dalam PRU14 adalah terbatal.

Pengundian awal akan diadakan pada 22 Jan, manakala hari mengundi pada 26 Jan.

-- BERNAMA