Isu yang dibawa dalam Perarakan Ungu dengan slogan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di ibu negara adalah dangkal serta tidak mencerminkan situasi sebenar yang berlaku dalam persekitaran politik negara.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, apa yang dilaungkan hanyalah retorik semata kerana semua isu yang ditimbulkan telah ditangani dengan baik oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

"Saya cuba memahami setiap laungan-laungan yang dilontar aktivis dalam perarakan tersebut seperti menggesa menghentikan keganasan politik terhadap wanita, menuntut pertuturan beradab tanpa unsur-unsur seksis atau rasis serta mendukung keluhuran perlembagaan dalam institusi kerajaan.

"Persoalan saya di sini, adakah Maria Chin lupa bahawa tindakan kerajaan memansuhkan ISA adalah satu tindakan bersifat demokratik bagi membenarkan orang awam menyuarakan pendapat atau sudut pandang yang lebih terbuka tanpa adanya perasaan takut ditangkap oleh pihak berkuasa?" soalnya di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata demikian semasa mengulas Perhimpunan 'Wanita Bantah Politik Toksik' yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

BACA: Wanita tolak politik toksik

BACA: DAP parti dominan sebenar dalam Pakatan Harapan - Tengku Sariffuddin

Selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, perhimpunan itu turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Jelas Mas Ermieyati, Dr. Siti Hasmah dalam ucapannya turut mengecam tindakan individu yang menampar David Teo dalam satu majlis yang dihadiri Datuk Seri Najib baru-baru ini dan tidak dikenakan apa-apa tindakan.

Isteri bekas perdana menteri itu turut membandingkan sekiranya situasi tersebut berlaku sewaktu era pentadbiran terdahulu.

"Jangan dilupa sewaktu Akta ISA masih wujud di bawah kepimpinan suaminya, kita dapat melihat betapa ramai mulut terkunci kerana tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan tidak adanya semangat demokrasi yang subur dalam suasana masyarakat majmuk di negara kita.

"Dalam suasana politik yang pelbagai selera di negara kita, kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan dari sudut perundangan bagi memastikan demokrasi terus subur selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Memetik kata-kata Teresa Kok sebagai mangsa kepada politik kotor kerana pernah ditahan ISA kerana didakwa melarang azan di sebuah masjid, adakah beliau bermaksud politik toksik itu telah bermula sejak era pentadbiran Mahathir?" soalnya lagi.

Mas Ermieyati turut mengingatkan, apa jua yang berlaku sepanjang Perarakan Ungu tersebut adalah cerminan sikap pembangkang sendiri.

"Saya cuma ingin bertanya adakah aktivis-aktivis ini terlupa bahawasanya situasi yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini melibatkan seorang ADUN wanita di pihak pembangkang telah dibuli dan dicerca oleh ahli-ahli Dewan Ungangan Negeri kerana mempertahankan nasib penduduk di kawasannya.

"Perkara yang berlaku ini adalah sesuatu yang lebih memalukan golongan wanita secara keseluruhannya dan perlu ditangani terlebih dahulu sebelum mahu bertindak mewakili rakyat Malaysia dalam membuat bantahan umum.

"Saya mahu rakyat di luar sana menilai adakah tindakan berarak di atas jalan raya bagi menzahirkan perjuangan 'wanita bantah politik toksik' ini selari dengan tindakan pihak pembangkang menyelesaikan kemelut melibatkan golongan wanita selama ini," ujarnya.

Tegasnya, kesangsian yang wujud di dalam mindanya berhubung hala tuju wanita yang mahu digerakkan dalam perarakan itu pastinya dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

"Persoalan yang masih jelas, adakah mereka mahu kerajaan mewujudkan semula ISA atau membuat akta baru bagi menyelesaikan isu Politik Toksik yang dibawa?" soalnya.