Era keruntuhan UMNO bermula dari zaman selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu sehingga ke saat diadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, banyak tanda-tanda keruntuhan dan kerosakan mula terserlah secara perlahan, tersembunyi tetapi semakin membuak ke atas, pada era keruntuhan UMNO.

"Penyakit politik ini bermula dari kepimpinan yang lemah dan kurang kebijaksanaan dalam mentadbir, mengendali masalah-masalah dalaman dan di luar parti, dihempap dengan masalah integriti di mana keputusan-keputusan yang dibuat pemimpin lebih mempamerkan keperluan peribadi dari memanifestasikan kepentingan nasional seperti yang dimandatkan rakyat dalam PRU.

"Situasi semakin hambar dan mengecewakan bila persepsi kepimpinan berubah dari pembelaan untuk rakyat dan negara seperti yang termaktup dalam Perlembagaan UMNO menjadi usaha membeli sokongan dan ketaatan melalui habuan wang serta tawaran pelbagai jawatan secara politik.

"UMNO langsung tersungkur dari persada kuasa negara bila wang dinaikkan pangkat kepada jawatan 'raja segala raja'.

"Pada saat inilah pemimpin telah mencapai satu tahap yang tidak dapat membezakan antara hak rakyat dan negara dengan kepentingan peribadi dan keluarga," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Tegasnya, kebanyakan ahli UMNO gagal untuk membaca dan menghayati hakikat laluan sejarah parti itu di negara ini

"Kerana ini, perjuangan UMNO masa kini telah jauh tersasar dari perjuangan asal.

"Kerana ini juga, semangat dan rasa ketaatan dan kesetiaan kepada parti yang telah dipupuk serta diindoktrinasi sekian lama, berdekad atau berpuluh tahun secara tidak disedari telah menjadi semangat ketaksuban negatif, setia secara membuta tuli dan menghayati sindrom penafian di luar kewarasan akal.

"Secara pendekatan historikal, sejarah UMNO di negara ini terbahagi kepada era keruntuhan dan kegemilangan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, di era kegemilangan UMNO, rakyat termasuk para sejarawan mengakui dan mengiktiraf peranan serta sumbangan parti dalam mentransformasi negara dari sebuah negara miskin, mundur dan tertinggal ke belakang kepada sebuah ekonomi yang maju, makmur dan dinamik.

Jelasnya, era kegemilangan UMNO bermula dari Datuk Onn Jaafar sehinggalah ke zaman Dr Mahathir menerajui parti.

"Rakyat dapat melihat dan merasai bahawa kemiskinan tegar dapat dibanteras, pendemokrasian pendidikan untuk rakyat dari Perlis hingga ke Sabah berjaya direalisasi, hasil pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat dari peluang-peluang pekerjaan yang tersedia secara meluas.

"Ia termasuk kemudahan infrastruktur yang semakin banyak di merata tempat serta reformasi struktur ekonomi dari hanya bergantung kepada sektor agro kepada sektor perkilangan, perkhidmatan dan komunikasi.

"Inilah era kegemilangan UMNO yang sebenarnya boleh dibanggakan oleh setiap warganegara yang patriotik," tegasnya.