Pakatan Harapan (PH) menerima kekalahan teruk mereka dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang lepas, sebagai satu peringatan daripada rakyat untuk lebih fokus dalam mentadbir negara, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, post-mortem di semua peringkat parti telah pun diadakan, dan masing-masing perlu tahu apakah yang perlu dilakukan bagi memulihkan semula keadaan di negara ini.

Selain itu, beliau juga mengakui keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi parti, dan kepimpinan PH perlu mengambil langkah memberi penerangan dan penjelasan bagi memberikan ahli parti gambaran yang sebenar dari peringkat atasan.

“Kita sedar bahawa keputusan buruk ini sebagai satu amaran kepada parti kita bahawa banyak perkara perkara yang kita lakukan ini tidak disenangi oleh rakyat, terutamanya berkenaan cost of living dan macam macam lain.

“Termasuk tuduhan bahawa parti Pakatan Harapan ini dikuasai sepenuhnya oleh DAP itu pandangan orang Melayu, dan orang Cina berpendapat bahawa DAP dikuda oleh Dr Mahathir daripada Parti Bersatu. Jadi nampak balanced lah dua dua pihak tidak puas hati,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta kepimpinan kanan parti komponen yang lain,

Ditanya sekiranya kegagalan menunaikan Manifesto Pilihan Raya antara punca kemarahan rakyat terhadap PH, Tun Mahathir berkata, itu turut dibincangkan dalam mesyuarat, namun beliau enggan mengulas lanjut.

“Ada benda perlu diambil tindakan oleh kerajaan iaitu menteri dan kabinet, ada juga yang tindakan perlu diambil oleh parti masing masing,” katanya lagi.