Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kekalutan politik Kedah

Kekalutan politik Kedah
Pelantikan MB yang baharu membangkitkan persoalan: Sejauh manakah gaya kepimpinan oleh PAS di bawah PN mampu mengembalikan sokongan rakyat?
PENGALAMAN saya menjalankan kajian untuk melengkapkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang geografi politik, membolehkan saya memahami dan mendalami selok-belok politik di negeri Jelapang Padi itu yang sentiasa bergelora jika diperhatikan tempoh perkhidmatan seseorang Menteri Besar yang sentiasa silih berganti.

Dengan pelantikan Mohamad Sanusi Mohd Noor sebagai Menteri Besar Kedah pada 17 Mei 2020, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, bermakna beliau merupakan Menteri Besar ke-14 dalam sejarah Menteri Besar Kedah. Dalam tempoh 7 tahun sahaja sudah ada 4 orang Menteri Besar.
Menteri Besar Kedah yang paling lama memegang jawatan tersebut ialah Tan Sri Osman Arof selama 11 tahun (1985-1996) dan Tun Syed Ahmad Syed Mahmod Shahbudin, juga 11 tahun (1967-1978). Sementara MenteriMenteri Besar lain tidak sampai tiga tahun atau hanya satu penggal. Bermula daripada Tan Sri Sanusi Junid yang hanya memegang jawatan itu selama tiga tahun (1996-1999). Demikian juga Datuk Seri Mahdzir Khalid (2005-2008) dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (2013-2016), manakala Datuk Seri Ahmad Bashah dan Mukhriz masing-masing hanya dua tahun dari tempoh 2016 – 2020.

Peristiwa pelantikan dan pergolakan Menteri Besar Kedah tidak pernah berkesudahan. Sejarah bermula 24 tahun dulu (1996), apabila Dr Mahathir Mohammad ingin membawa pulang Sanusi Junid bagi menggantikan Osman Arof sebagai Menteri Besar. 22 orang ADUN Kedah yang menyokong Osman Arof memprotes tindakan tersebut. Pernah menemu bual Osman Arof untuk melengkapkan kajian penyelidikan saya, beliau menyatakan Tun Daim memanggilnya untuk menyampaikan hasrat bagi pihak Dr Mahathir Mohammad untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.
Osman Arof menyatakan beliau amat terkejut. Pertamanya, beliau yang kerap berjumpa dengan Tun Mahathir sebelum itu tidak pula menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap beliau. Keduanya, beliau merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu dan Dr Mahathir pula adalah ketua bahagiannya. Kenapakah Perdana Menteri tidak memberitahu sendiri kepadanya? Akhirnya beliau akur melepaskan jawatan.

Manakala 22 orang ADUN yang memprotes pelantikan Sanusi Junid sebagai Menteri Besar turut akur selepas dipanggil seorang demi seorang untuk berjumpa dengan Dr Mahathir.

Namun, selepas tiga tahun, pada Disember 1999 Sanusi Junid melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah kerana mengambil tanggungjawab akibat prestasi terburuk UMNO/BN dan hampir tewas ke tangan pembangkang dalam PRU10 1999.

Sebagai imbas kembali, peletakan jawatan Mukhriz sebagai Menteri Besar ke-11, selepas beliau tidak lagi mendapat kepercayaan ADUN pada Februari 2016 berlaku apabila Ahmad Bashah membuat pengumuman ADUN UMNO hilang kepercayaan kepada beliau. Ahmad Bashah kemudian dilantik menjadi Menteri Besar. Kehilangan jawatan Mukhriz itu dianggap berpunca daripada tindakan beliau bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak berhubung dengan skandal 1MDB.

Sememangnya, peletakan jawatan Mukhriz empat tahun lalu membawa implikasi yang mendalam terhadap kestabilan politik di negeri itu, terutamanya UMNO. Ketika itu, Mukhriz ditanggapi sebagai ahli politik muda, bersih, ada aura tersendiri dan tambahan pula, anak bekas Perdana Menteri. Sekurang-kurangnya beliau harus diberikan peluang memimpin Kedah.

Pastinya, Mukhriz ketika itu tidak keseorangan, seperti yang berlaku pada malam peletakan jawatan itu, apabila anak-anak muda turun memberikan sokongan kepada beliau dan rakyat mula membanjiri Bangunan Tunku, Alor Setar sehingga lewat malam. Rakyat Kedah tanpa berselindung menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap UMNO yang disifatkan oleh mereka ‘menggulingkan’ Mukhriz. Apa yang terjadi kepada beliau, pemerhati melihat ibarat ‘simpan dalam’ dan ‘makan dalam’ dalam kalangan rakyat Kedah.

Kepopularan Mukhriz yang begitu tinggi, memang sukar disaingi oleh penggantinya, Ahmad Bashah, yang kena “boo” oleh para penyokong bola sepak Kedah setiap kali beliau muncul di stadium menyaksikan perlawanan pasukan Hijau Kuning. Selebihnya sejarah: UMNO-BN kalah teruk di Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) tahun 2018.

Pada mulanya, dijangkakan perubahan kerajaan negeri berlaku berikutan dua ahli DUN daripada Pakatan Harapan (PH) berpaling tadah dan menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan dibentuk.

Namun begitu, yang berlaku selain dua orang anggota berkenaan, empat ahli DUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut meninggalkan kerajaan PH-Bersatu. Mereka terdiri daripada dua orang EXCOnya sendiri, iaitu Halimah Shaadiah Saad dan Mohd Firdaus Ahmad bersama-sama Juhari Bulat , dan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail. Tindakan mereka itu menambahkan lagi luka untuk Mukhriz. Mereka semua dianggap setia pada Mukhriz, ibarat “lemas bersama-sama, berenang bersama-sama.” Jika diperhatikan,suasana peletakan jawatan Mukhriz kali kedua, sungguh berbeza sama sekali. Tidak kelihatan lagi kumpulan ramai anak muda bangkit membantah. Tidak kelihatan tanda protes yang ditunjukkan secara terbuka, baik oleh rakyat biasa mahupun ahli politik. Melalui media sosial, tidak kelihatan usaha menganjurkan demonstrasi jalanan untuk menunjukkan keberangan. Pendek kata, beliau bukan sahaja hilang angka, tetapi juga terputus sokongan rakyat.

Kelainan yang ketara ini diperhatikan oleh pengulas politik veteran, Joceline Tan dalam Sunday Star 17 Mei. Meskipun Mukhriz merujuk apa yang berlaku pada beliau sebagai “musim pengkhianatan,” catat Joceline, “perkara aneh tentang coup Kedah, rakyat Kedah tidak berminat.’’ Atau dengan kata lain, mereka tidak ambil peduli pun.

Mungkin kerana rakyat sudah ‘cemuih’ (bosan) terhadap politik tanah air sejak akhir- akhir ini. Tambahan pula, mereka perlu memikirkan bahaya COVID-19 dan mata pencarian yang terjejas akibat serangan virus yang boleh membawa maut ini.

Kajian saya bagi memenuhi Doktor Falsafah, iaitu “Tingkah Laku Pengundi Melayu dan Budaya Politik di Kedah,” memperlihatkan karektor unik dan begitu kritis mereka terhadap kepimpinan di negeri sejak kebelakangan ini.

Pertama, budaya politik Kedah mementingkan ciri-ciri pemimpin tempatan atau local leader. Bak kata orang Kedah perangai seperti “hemoi (tak kisah), tak peghongoih (panas baran), keloloh (tidak senonoh), mudah bergaul dan tidak perlu social distancing.” Sekiranya dijemput memenuhi kenduri dari Bandar Amanjaya Sungai Petani, sehingga ke Kampung Cerok Pisang, Sik sekalipun, tidaklah berasa kekok. Boleh turun hingga ke “kedohok” (tempat cuci pinggan). Pendek kata, watak pemimpin yang didambakan ialah boleh “belemoih” (kotor) dan “bergelomiang” (bercampur) dengan rakyat. Memang percakapan atau loghat orang Kedah dilihat seakan kasar, namun mereka lebih terbuka dalam menilai sesuatu.

Kedua, tahap sokongan pengundi Melayu di Kedah yang dikenali “Malayhearts Land” ini berbanding Kelantan dan Terengganu dilihat tidak stabil dan ‘fragile’ dalam beberapa PRU kebelakangan ini. Wujud hayunan berbentuk pendulum dan berlaku undi kalih (undi berubah). Contohnya, PRU11 (2004): Barisan Nasional (BN), PRU-12 (2008): PAS, PRU-13 (2013); BN, dan PRU-14 (2018): PH-Bersatu.

Ini memperlihatkan kesetiaan dan keterikatan pengundi yang berpanjangan terhadap sesuatu parti (party identification) selama ini semakin pudar. Politik budi dan mengenang jasa dahulunya menebal, semakin menipis.

Pastinya, pelantikan Menteri Besar yang baharu membangkitkan persoalan: Sejauh manakah gaya kepimpinan oleh PAS di bawah PN mampu mengembalikan sokongan rakyat? Atau, apabila diperhatikan gelagat pengundi Kedah, apakah beliau sekadar mengulangi nasib Menteri-menteri Besar sebelum ini yang hanya mampu bertahan paling lama satu penggal. Akhir sekali, masih wujud lagikah budaya politik Kedah selama ini iaitu “hampa petak hampa, kami petak kami” atau perbezaan politik kepartian keterlaluan ? Atau sudah sampai masanya perlu ada normal baharu dalam budaya politik Kedah iaitu ‘mai kita pakat dok elok-elok, bagi jadi. Jangan dok kalut’ . Bagi rakyat Kedah sekarang sudah mempunyai literasi politik yang tinggi, jangan sampai mereka “cemuih” (jemu) atau “meluat” dengan kelaku (perangai) politik yang tidak pernah berkesudahan.

Dengan memetik kata-kata Eugene McCarthy, ahli politik Amerika Syarikat, “menjadi orang politik sama seperti menjadi jurulatih bola sepak. Anda perlu cukup pintar untuk memahami permainan dan cukup dungu untuk fikir pentingnya permainan.”


* Penulis merupakan penganalisis politik merangkap pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.