Kerajaan Negeri Kelantan akan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen ke-13 esok, bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau akan mengadap Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra hari ini bagi memohon perkenaan untuk membubarkan DUN.

“Kita mesti serentak. Kita ikut Parlimen. Itu sudah menjadi kebiasaaan. Saya akan mengadap ke bawah Duli Pemangku Raja Kelantan, untuk minta izin bubar DUN,” katanya kepada pemberita selepas kuliah mingguan di Dataran Ilmu pagi ini.

Mandat kerajaan akan berakhir selepas DUN dibubarkan, bagaimanapun, perjalanan dan pentadbiran kerajaan Kelantan akan berjalan seperti biasa.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas menyarankan supaya rakyat di negeri ini memilih dan memberi mandat kepada pemimpin yang berjiwa Islam.

Tegasnya, beliau secara peribadi melahirkan kekecewaan sekiranya Kelantan diperintah oleh pemimpin yang tidak berjiwa Islam.

Sambil meminta rakyat Kelantan menolak pemimpin yang tidak mengikut syariat Islam, Ahmad menjelaskan, beliau berlapang dada sekiranya Kelantan dikekalkan di bawah pemimpin yang berjiwa Islam.

“Kalau secara Islam, insyaAllah kita terbuka.

"Saya sebagai menteri besar memohon supaya beri sokongan kepada dasar kita yang telah kita laksanakan. Bagi saya, kalau ada dasar lain, saya sebagai menteri besar tak rela," katanya.

Kata Ahmad, Pas Kelantan sudah menjalankan kerja dan tugas pentadbiran di negeri tu seperti yang diamanahkan, namun terserah kepada rakyat untuk menentukannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok setelah mendapat perkenaan yang DiPertuan Agong.