Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob pagi ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Kota Lama.

Ini menjadikan Kelantan negeri pertama yang menubuhkan kerajaan selepas proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berakhir awal pagi ini.

Istiadat angkat sumpah berkenaan berlangsung di hadapan Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra bermula jam 11.30 pagi.

Ia turut disaksikan Tengku Temenggong Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache, Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad dan Mufti Kelantan Datuk Mohd Shukri Mohamad.

Ini adalah penggal kedua Ahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan, dilantik sebagai Menteri Besar selepas menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

PAS mengekalkan kerajaan negeri selepas menang lebih 25 kerusi DUN yang diperlukan untuk mencapai majoriti mudah.

Di peringkat Parlimen, PAS menang sembilan kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) kekal di lima kerusi.