Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kemasukan ahli baharu tanda Bersatu semakin diterima di Sabah - Hajiji

Kemasukan ahli baharu tanda Bersatu semakin diterima di Sabah - Hajiji
Hajiji berkata, Bersatu Sabah menyasarkan untuk mencapai 200,000 ahli menjelang akhir tahun ini. -Gambar fail
TUARAN: Bersatu semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah berikutan kemasukan ramai ahli baharu termasuk bekas ahli dan pemimpin parti lain, kata  Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor.

Katanya, keadaan itu adalah petanda baik bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang merupakan satu daripada parti gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.
"Rakyat Sabah sudah mulai melihat kemampuan serta kredibiliti PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam mengurus tadbir negara terutama ketika berdepan cabaran COVID-19.

"Saya melihat bantuan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang menghadapi kesukaran ketika krisis ini (impak COVID-19), yang membuat rakyat menyokong PN dan perdana menteri atas usaha murni tersebut," katanya, yang turut yakin Bersatu akan menjadi parti kuat di Sabah.
Beliau berkata demikian selepas menerima kemasukan seramai 200 ahli baharu terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) ke dalam Bersatu Bahagian Tuaran di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah menyasarkan untuk mencapai 200,000 ahli menjelang akhir tahun ini. Buat masa ini, parti berkenaan mempunyai lebih 100,000 ahli, meskipun baru setahun bertapak di Sabah, katanya.

"Pada masa ini, Bersatu Sabah mempunyai lebih kurang 20,000 hingga 30,000 ahli sedang menunggu untuk didaftarkan di seluruh Sabah. Bagaimanapun (sebelum ini) proses pendaftaran terbantut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Bersatu Sabah kini membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum sekiranya diadakan secara mengejut dengan setiap bahagian parti akan diarahkan untuk menubuhkan jentera pilihan raya.

"Perkara ini akan dibawa (dibincangkan) dalam mesyuarat (Bersatu) negeri pada Selasa ini," katanya,

Sementara itu, bekas Ketua Penyelaras Amanah Tuaran, Ramlih Hasrih berkata dia memilih menyertai Bersatu kerana yakin dengan kepimpinan perdana menteri dan Hajiji yang disifatkannya prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat.

Bekas Ketua Cawangan Warisan Kampung Berundung, Tuaran, Adneh Setuh pula mendakwa, dia bersama 46 lagi ahli cawangan itu keluar Warisan kerana menyifatkan parti itu gagal membela nasib rakyat selama dua tahun memerintah negeri Sabah.


Tag: Bersatu, parti, pilihan raya umum, pilihan raya, politik, kerajaan, rakyat, dipercayai, PPBM, Hajiji Noor



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.