Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan kepimpinan negeri berada dalam keadaan stabil dan terkawal serta tidak akan ada 'perkara luar biasa' berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini.

Beliau yang menyifatkan perkembangan terkini di Terengganu umpama 'ribut dalam cawan' serta hanya seperti pertelingkahan adik beradik.

"Biasalah ... lagikan suami isteri ada juga berlaku ketegangan apatah lagi adik beradik. Pertelingkahan ini akan menguatkan lagi solidariti (kepimpinan Barisan Nasional Terengganu).

"Insya-Allah semuanya selesai. Tidak ada apa yang perlu ditimbulkan lagi," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Anak Terengganu di Perantauan, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam waktu terdekat, Ahmad Razif berkata: "Saya memang selalu berhubung dengan perdana menteri. Saya telah beri keyakinan (kepada perdana menteri) untuk menangani dan mengawal keadaan".

Ahmad Razif turut meminta semua pihak bergerak ke hadapan kerana apa yang mustahak adalah menjayakan agenda negeri Terengganu dan terus pandang ke hadapan.

Sejak awal minggu lalu, Ahmad Razif dan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said saling mengkritik sesama sendiri hingga timbul spekulasi akan berlaku pilihan raya negeri.

Pada pilihan raya umum ke-13, UMNO Terengganu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis dua kerusi. UMNO menang 17 kerusi DUN, PAS (14) dan PKR (satu).

Ahmad Razif dalam pada itu berkata Terengganu akan memberi tumpuan untuk menarik pelancong antarabangsa dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri.

"Antara usaha untuk memperkenalkan Terengganu di peringkat global ialah aktiviti promosi di Singapura pada bulan ini, diikuti dengan di Shanghai, China dan di Malaysia Festival, Sydney," katanya.