Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin adalah kesinambungan kepercayaan pengundi di parlimen itu terhadap parti ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepercayaan itu sebelum ini diraih daripada bekas ahli parlimen dari parti itu yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Panglima Anifah Aman yang telah memberikan sumbangan yang cukup besar di dalam kemenangan ini.

“Ia merupakan satu kesinambungan kepercayaan pengundi-pengundi kimanis daripada beliau kepada Datuk Mohamad Alamin.

“Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan duduk di dalam dewan rakyat dan meraka akan memperjuangkan nasib rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Sabtu.

BACA: Kimanis kekal di tangan BN, peroleh majoriti lebih besar

Terdahulu, Datuk Mohamad Alamin berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti 2,029 undi.

Beliau sekali gus menewaskan pencabarnya, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dalam pertandingan satu lawan satu itu PRK kali ini.

Mohamad mendapat 12,706 undi, menewaskan Karim yang mendapat 10,677 undi.