Calon Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid menyifatkan kemenangannya sebagai kemenangan untuk rakyat di situ.

Beliau berkata, majoriti 6,969 yang diperolehinya mengatasi tiga calon lain dari PAS, Amanah dan Bebas adalah manifestasi penerimaan rakyat Kuala Kangsar terhadap arwah suaminya Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Bagi saya, rakyat Kuala Kangsar pemenang sebenar, mereka telah membuat keputusan dan inilah yang mereka mahukan. Mereka telah terjemahkan secara nyata dan jelas.

"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada arwah suami saya kerana tanpa usaha dan kerja beliau yang baik serta kasih sayangnya terhadap rakyat di sini, saya tidak akan berada di sini untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada satu sidang media khas di rumahnya dekat Bukit Chandan pada Sabtu.


Dalam pada itu, beliau memberitahu perkara pertama yang akan dilakukannya selaku Ahli Parlimen baharu ialah menziarahi semua kampung di Kuala Kangsar.

"Perkara pertama saya nak buat setelah dapat nasihat ilmuan agama mengenai eddah saya, saya ingin lawat semua kampung di Kuala Kangsar," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata sokongan penduduk Kuala Kangsar amat diperlukan untuk memastikan perjuangan dapat diteruskan serta agenda pembangunan dapat dilaksakan.

Beliau juga melahirkan rasa terharu dengan pengorbanan jentera BN yang bersungguh-sungguh mmbantunya meskipun beliau tidak dapat keluar berkempen.

"Setiap keringat mereka akan saya balas dengan iltizam dan kerja keras untuk merealisasikan lima agenda yang telah saya kemukakan sejak awal kempen.

"Amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya akan cuba dilaksanakan dengan sepenuh daya serta usaha," ujarnya.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengumumkan Mastura sebagai pemenang pada PRK Kuala Kangsar dengan undi majoriti 6,969.

BACA: BN kekal kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti 6,969 undi

Mastura menewaskan tiga calon lain dengan meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.

Beliau menewaskan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PAS mendapat 5,684 undi, Amanah mendapat 4,883 undi manakala calon Bebas mendapat 54 undi.