Tutup

Kempen di Kimanis semakin rancak, pelbagai isu ditimbulkan

Kempen di Kimanis semakin rancak, pelbagai isu ditimbulkan
Kawasan sekitar Kimanis juga semakin sibuk dan meriah apabila kenderaan pacuan empat roda milik jentera kempen kedua-dua parti politik mula memasuki kawasan-kawasan yang disasarkan. - Bernama
KIMANIS: Tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang memasuki fasa kedua pada Sabtu, semakin rancak dengan kedua-dua calon bertanding memperhebatkan usaha untuk menambat hati pengundi melalui setiap peluang yang ada.

Selepas tujuh daripada 14 hari tempoh kempen PRK itu berlangsung semalam, kedua-dua parti bertanding - Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) - semakin giat mengadakan ceramah dan perjumpaan bagi menyampaikan mesej kepada pengundi di samping menangkis serangan daripada pihak lawan.
Selain deretan bendera putih dan biru, kawasan sekitar Kimanis juga semakin sibuk dan meriah apabila kenderaan pacuan empat roda milik jentera kempen kedua-dua parti politik mula memasuki kawasan-kawasan yang disasarkan.

Kehangatan suasana kempen juga dirasai apabila kedua-dua parti saling berdebat berhubung dasar dan rekod prestasi masing-masing dengan isu seperti Pas Sementara Sabah (PSS) dan Lebuhraya Pan Borneo, di samping menyentuh aspek pembangunan negeri.
Bagi calon Warisan Datuk Karim Bujang, beliau berpuas hati dengan gerak kerja yang ditunjukkan jentera Warisan setakat ini, termasuk dengan bantuan rakan sekutu mereka, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH).

"Saya gembira dengan perkembangan mutakhir ini, mudah-mudahan dalam masa berbaki beberapa hari lagi (berkempen), kita akan terus tingkatkan prestasi kerja.

"(Saya juga mendapati) Sokongan (pengundi) amat menggalakkan apabila mereka keluar beramai-ramai di tempat perjumpaan dan ceramah kita," menurutnya.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan BN.

Warisan mempertaruhkan Karim, 67, manakala BN meletakkan Datuk Mohamad Alamin, 48, sebagai calon.

Pensyarah Geografi Politik, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fadilah Sarbi berpendapat kedua-dua parti kini masih dalam 'kajian' untuk mengklasifikasikan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) mana bakal dimenangi dan kawasan mana memerlukan lebih perhatian.

"Saya pasti parti yang bertanding mempunyai strategi tersendiri dan cara paling sesuai untuk pecutan terakhir ini adalah untuk terus dekati pengundi dengan pelbagai pendekatan.

"(Tetapi) parti juga harus ingat bahawa pertarungan ini bukan hanya di lapangan tetapi di media sosial. Jentera media sosial parti juga perlu memainkan peranan kerana ini adalah platform bagi pengundi yang berada di luar kawasan untuk mendapatkan akses dan maklumat," katanya.

SPR menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan. Tempoh berkempen bagi PRK Kimanis adalah 14 hari bermula selepas penamaan calon pada 4 Jan dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 17 Jan ini.

-- BERNAMA


Tag: prk kimanis, pilihan raya kecil, kimanis memilih, politik, wakil rakyat, rakyat, pengundi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.