Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah Yamani Hafez Musa berpendapat dengan mengemukakan lebih ramai calon muka baharu akan memberi kelebihan kepada parti untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Yamani Hafez yang juga Ketua Pemuda UMNO Sabah berkata keputusan pemilihan calon bagi PRU14 itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sememangnya lebih mengetahui calon sesuai dipilih pada pilihan raya itu.

"Perdana menteri lebih bijak dan lebih tahu keadaan semasa kerana beliau perlu menimbangkan banyak faktor apabila memilih calon," katanya kepada pemberita selepas menghadiri siri Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi kawasan pedalaman Sabah di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Yamani Hafez berkata, dengan menampilkan lebih ramai calon muka baharu pada pilihan raya akan datang juga akan memberi kekuatan kepada parti selain ia adalah terjemahan kepada pelaksanaan TN50 yang penting kepada golongan muda.

Menurutnya, parti perlu seimbang untuk memastikan ia kekal relevan pada masa akan datang.

Mengenai Dialog TN50, Yamani Hafez berkata program berlangsung selama lebih satu jam itu dihadiri kira-kira 3,000 belia dari Tambunan, Keningau, Tenom dan Pensiangan bagi berkongsi idea dan inspirasi mereka untuk menjayakan pelaksanaan TN50 akan datang.

Beliau berkata antara pandangan sering diutarakan belia di Sabah sepanjang siri dialog itu ialah peluang pekerjaan untuk mereka dan beliau berpendapat sektor swasta serta keusahawanan perlu diperhebatkan di negeri ini supaya ia lebih seiring dalam memberi lebih banyak peluang pekerjaan bagi golongan itu.

Ini kerana golongan belia tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sektor awam untuk menawarkan mereka pekerjaan, katanya.

-- BERNAMA