Pergerakan Pemuda UMNO meminta pihak berkenaan untuk menyiasat Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penasihat pelaburan Hong Kong Jynwel Capital, Low Taek Jho Low atau Jho Low yang dipetik mengatakan pemimpin UMNO sebagai kaki putar.

Exconya, Ibdilillah Ishak berkata, Jho Low kini disifatkan cuba menyembunyikan sesuatu dan memfitnah pemimpin UMNO untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

"Jho Low harus disiasat, dan jika dia terbukti bersalah, perlu juga diambil tindakan!

"Janganlah baling batu sembunyi tangan, Jho Low. Tidak perlu untuk fitnah pemimpin UMNO apabila sedang berdepan masalah yang besar. Dia seolah-olah mahu melepaskan tengkuknya sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muka depan Edge Financial Daily pada Selasa menyiarkan kenyataan Jho Low yang mengatakan 'Those UMNO Guys Are Spin Masters'.

Tegas Ibdillah, persoalan yang timbul kini ialah siapakah Jho Low untuk seolah-olah mempersalahkan UMNO dan seolah-olah melabel pemimpin-pemimpin UMNO sebagai pakar putar-belit.

"Siapakah individu ini untuk berkata sedemikian? Apakah Jho Low benar-benar terlibat dan berasa bersalah dalam kontroversi besar ini?

"Kita tidak boleh tunggu lama lagi, kerana ini isu rakyat. Isu ini penentu survival parti ini sendiri. Saya meminta pihak yang terbabit mengadakan siasatan yang rapi dan menyeluruh dengan cepat.

"Jika terdapat individu yang pecah amanah, menyeleweng wang rakyat dan sebagainya, mereka harus diambil tindakan," jelasnya.

Katanya lagi, pengauditan itu juga perlu dibuat dengan telus tanpa melindungi kepentingan sesiapa.

"Saya juga mengalu-alukan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempercepatkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), individu berkaitan termasuk Jho Low yang sedang mengalami kontroversi.

"Pihak tertentu juga harus mempercepatkan permintaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk siasatan rapi secara menyeluruh," jelasnya.

Sebelum ini Najib dilaporkan berkata Jho Low tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1MDB.

Sebaliknya, Najib berkata semua keputusan dan urus niaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB.