Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kurang senang dengan tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa menghina kerajaan Kelantan termasuk mengenai isu hutang negeri itu.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang mahu mendedahkan dokumen-dokumen sulit kerajaan negeri berkenaan.

"Saya rasa tidak adil dan kurang senang dengan serangan tidak henti hampir setiap hari dari menteri DAP terhadap kerajaan Kelantan sejak minggu lalu. Terbaru, serangan dibuat ahli parlimen Pulau Pinang hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hutang kerajaan Kelantan ialah RM1.4 bilion pada tahun 2016.

"Apakah keperluan dan matlamat untuk menghina termasuk tindakan kerajaan pusat untuk mendedahkan surat-surat sulit dari kerajaan Kelantan kepada kerajaan pusat?," katanya melalui entrinya di laman Facebook.

Beliau mempersoalkan keperluan kerajaan pusat menghina Kelantan yang kadangkala memerlukan pertolongan terutamanya selepas banjir yang teruk akhir tahun 2014.

"Ya, tidak dapat dinafikan Kelantan adalah antara negeri paling miskin pada ketika ini tetapi ini ekoran tindakan kerajaan BN terdahulu di bawah Perdana Menteri ke 4 yang menghentikan projek-projek pembangunan dan keperluan asas kerana ia jatuh di bawah kepimpinan parti lain pada 1990, sehingga tiada satupun lebuhraya atau infrastruktur air bersih yang sempurna di negeri itu kerana faktor ini, sumber pendapatan dan pembangunan kerajaan Negeri adalah terbantut.

"Pada akhir tahun 2007 iaitu sebelum DAP mengambil alih, Pulau Pinang ialah negeri kedua terkaya di Malaysia dengan nilai Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) Per Kapita untuk Pulau Pinang sudahpun RM31,039 iaitu 4.5 kali ganda berbanding RM6,943 untuk Kelantan," ujarnya.


BERITA BERKAITAN: Saya lihat Jho Low boleh bawa pulangan untuk negara kerana... - Najib

BERITA BERKAITAN: Hentikan temu bual, Najib dakwa Al Jazeera tidak adil kepadanya

Justeru, beliau hairan kenapa Guan Eng terus menyerang kerajaan negeri Kelantan sedangkan negeri itu sepatutnya memerlukan bantuan kerajaan pusat.

"Rakyat Pulau Pinang ialah Rakyat Malaysia. Rakyat Kelantan juga Rakyat Malaysia. Negeri yang kurang pembangunan patut dibantu dengan lebih banyak oleh kerajaan pusat bukan dihina dan diperlekehkan dengan berterusan," tambah beliau.

Jelasnya, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau banyak menyalurkan peruntukan bagi memperbetul dan membangunkan negeri Kelantan baik dari segi infrastruktur pengangkutan mahupun penebatan banjir.

"Lanjutan ini, Kelantan dapat mengurangkan defisit setiap tahun dan KDNK mereka naik 95.8% dari 2008 kepada RM13,593 pada akhir tahun 2017 berbanding kenaikan 60.6% untuk Pulau Pinang pada tempoh yang sama - bermaksud perkembangan ekonomi Kelantan pada tempoh itu lebih tinggi berbanding Pulau Pinang," katanya.