Tutup

Kenapa Pas bekerjasama dengan MCA? Ini jawapan Hadi

Kenapa Pas bekerjasama dengan MCA? Ini jawapan Hadi
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbincang bersama calon Pas untuk PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali (tengah) sewaktu pertemuan khas di Pejabat Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, hari ini. -Bernama
SHAH ALAM:

Pas akan membantu kempen MCA di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Balakong atas semangat setiakawan pembangkang.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka boleh bekerjasama dengan MCA kerana parti komponen BN itu tidak menyerang Pas seperti pernah dilakukan DAP.

“Kenapa kita boleh bekerjasama dengan MCA? MCA menentang hudud, DAP pun sama.

“Tetapi DAP menentang hudud semasa kita sama-sama dalam PR sebagai satu gagasan. DAP tidak mahu hormat, dia serang kita walaupun kita dalam satu pakatan.

“MCA pula bukan dalam satu pakatan. MCA kalau tak setuju mereka tak serang seperti DAP lakukan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Turut hadir, calon Pas di PRK Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali dan barisan kepimpinan tertinggi Pas Pusat dan Selangor.

Pas tidak bertanding di PRK Dun Balakong, sebaliknya memberi laluan kepada BN melalui MCA untuk menentang PH.

Manakala, di PRK Seri Setia, BN tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata beliau melihat kerjasama Pas dan UMNO dalam PRK Seri Setia sebagai satu perkara positif.

“Saya yakin di Seri Setia (kerjasama) akan meningkat lagi. Ini dapat dilihat dengan kehadiran pemimpin Umno dalam majlis penamaan calon,” katanya.