Veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mengemukakan rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Betty Chew.

Beliau yang menghantar rayuan terbuka kepada media itu turut meminta perkara sama dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi e-mel itu, Kit Siang yang mengenali Betty sejak tiga dekad lalu turut mempersoal mengapa wujud cubaan untuk menyamakan menantunya itu dengan Datin Seri Rosmah Mansor kedua.

"Saya telah mengenali Betty selama tiga dekad. Carilah di rumahnya dan anda tidak akan menemui, misalnya, 12,000 barang kemas yang terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 kalung, 2,100 gelang, 2,800 pasang anting-anting, 1,600 kerongsang, 14 tiara atau 423 jam tangan mewah (berjenama Rolex, Chopard dan Richard Mille), 234 cermin mata hitam mewah (berjenama Versace dan Cartier), 567 beg tangan mewah dari 72 jenama (antaranya Chanel, Prada, Versace, Bijan, KWANPEN dan Judith Leiber), 272 beg tangan dari Hermès (beg Birkin) atau wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang berbeza," memetik kenyataan media yang dikeluarkannya.

Kenyataan yang dikeluarkan beliau itu dilihat merujuk kepada serbuan dan rampasan barangan mewah yang dilakukan polis pada 2018 di unit kediaman eksekutif di Bukit Bintang melibatkan Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk membela menantunya itu.

Betty dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa depan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).